PAS sokong calon pembangkang

MARANG: PAS bersetuju dengan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, mewakili parti pembangkang.

Advertisement

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan, PAS sedia bekerjasama bagi menyokong calon yang mewakili pembangkang itu.

Ini kerana, katanya calon yang dikemukakan itu bukan calon parti Umno atau mana-mana parti meskipun bukan juga calon PAS.

Katanya, calon itu juga seorang pendakwah yang aktif, bekas pesara polis dari kalangan masyarakat Orang Asli.

“Alhamdulillah, kita setuju dengan calon. Calon yang bukan Umno, bukan dari mana-mana parti dan bukan calon PAS.

“Calon seorang pendakwah. Dia bekas pesara polis dan dia aktif dalam dakwah. Beliau juga masyarakat orang Asli, dan calonnya sangat baik. Kita akan bekerjasama, insya-Allah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Justeru, beliau yakin akan berlaku perubahan dalam kalangan rakyat bagi menyokongnya. – HARAKAHDAILY 11/1/2019