Antara ‘an-Nur’ dan ‘Zulumat’

GOMBAK: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan ayat 9 surah al-Hadid sebagai dalil penjelasan terhadap perbezaan antara PAS dengan PAN.

Advertisement

Di mana bacanya, kalimat sama iaitu ‘Zulumat’ sebagai lafaz jamak dan ‘an-Nur’ selaku sebutan tunggal itu juga turut dinyatakan Allah pada ayat 257 surah al-Baqarah.

“Daripada kegelapan-kegelapan yang banyak, dan satu cahaya, satu cahaya. Satu cahaya terkandung dalam Islam. Tonggaknya Quran, Hadis, Ijmak Ulamak, dan Qiyas. PAS mengadakan Majlis Syura Ulamak (MSU), dalam PAS ada MSU.

“Dalam PAN ada MSU? Dia tak ada. MSU ini untuk memelihara teras perjuangan, ‘an-Nur’, Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qiyas,” terangnya pada Liqa’ Fikri di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, di sini hari ini.

Menurut beliau, MSU boleh membatalkan keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bercanggah dengan Islam kerana hukum tertinggi dalam PAS adalah Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qiyas.

Kata Tuan Guru, perkara itu menjadi kunci terpenting dan jati diri sangat kuat kepada PAS, sedang dakwaan sebagai pihak yang betul pula adalah pengakuan diungkap oleh semua pihak.

“Bukan sahaja PAS kata PAS betul, PAN (juga) kata PAN betul, ini kata betul, masuk Komunis kata Komunis betul, Yahudi kata Yahudi betul, syaitan kata syaitan betul. Tak ada yang mengaku dia tak betul,” ujarnya cuba memahamkan.

Beliau meneguhkan keyakinan peserta program tarbiyah itu dengan memetik ayat 147 surah al-Baqarah bahawa kebenaran itu dari sisi Tuhan dan jangan termasuk dalam golongan yang ragu-ragu.

Menjawab soalan peserta, Tuan Guru turut memperincikan penerangan mengenai baiah dan ketaatan kepada pemimpin, serta pemerintahan yang adil. – HARAKAHDAILY 12/1/2019