PAS P. Pinang ziarah jurujual ditampar pelanggan

BAYAN LEPAS: PAS Negeri Pulau Pinang telah menziarahi jurujual kedai serbanika, Nur Athirah Mohd Aziz yang kisahnya tular di media sosial kerana ditampar oleh pelanggan ketika bertugas baru-baru ini.

Advertisement

Kunjungan bersama Dewan Pemuda dan Muslimat PAS itu turut disertai bekas calon PAS N.37 Batu Maung, Saiful Lizan Md Yusoff dan NGO PEKIDA di kediaman keluarga gadis itu di Pusat Bayan, di sini, semalam.

Rombongan hadir sebagai memberikan sokongan dan rasa simpati kepada Nur Athirah yang masih lagi trauma sejak insiden kekasaran pelanggan berbangsa Cina yang berlaku ke atasnya itu.

Pihak PAS Pulau Pinang pada kunjungan tersebut juga menyatakan kesediaan membantu Nur Athirah dan keluarganya agar perkara tersebut dapat diselesaikan mengikut lunas perundangan.

Pada ketika ini difahamkan suspek kes tersebut telah pun dikenal pasti oleh pihak Polis dan siasatan sedang dijalankan di mana PAS Pulau Pinang berharap Nur Athirah mendapat pembelaan sewajarnya.

Bagi PAS Pulau Pinang, perkara tersebut sememangnya wajar dibawa ke pihak berkuasa sebagai waspada terhadap tindakan luar batas sesetengah pihak berkait kaum dan agama mutakhir ini. – HARAKAHDAILY 12/1/2019 

IMG 20190112 WA0015