Beza golongan berwali antara Allah dengan thaghut

GOMBAK: Perjuangan PAS menekankan asas akidah kepada ahlinya kerana ia menyentuh perkara iman dan amal yang membawa kepada sifat istiqamah dengan mengambil Allah S.W.T sebagai wali.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal tersebut berbeza dengan sifat golongan yang menjadikan thaghut sebagai wali hingga mereka ditempelak Allah sebagaimana ayat 257 surah al-Baqarah.
 
“Kumpulan yang mengambil thaghut sebagai wali, mereka ini mengeluarkan diri daripada cahaya kepada kegelapan. Elok-elok duduk tempat baik tempat dapat hidayah, bekerja berjuang Islam, siang malam nak menangkan Islam, tiba-tiba keluar.
 
“Berbeza dengan orang yang duduk dalam kegelapan, nampak cahaya maka mereka pergi kepada cahaya dan istiqamah di atas cahaya tersebut,” ujarnya menerangkan sifat istiqamah golongan itu sebagaimana ayat 30 surah Fussilat.
 
Hal tersebut dijelaskan beliau semasa menjawab soalan peserta pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini semalam.
 
Bentangnya, golongan yang mengambil Allah sebagai wali akan mengikut setiap suruhan syariat, berbeza golongan sebaliknya di mana tidak melaksana atau membetulkan agenda selaras Islam.
 
“Sebagai contoh sahabat-sahabat kita keluar tubuh PAN, bergabung jadi kerajaan, apa agenda Islam yang kita tengok mereka buat? Ada kawan kita jadi Ketua Menteri, alhamdulillah tak apalah. Tapi apa agenda negeri mereka buat?
 
“Yang bagi sambung kelab malam operasi sampai pukul 5 pagi ini sama juga, riuh sehari dua ni. Operasi bar, disko, kelab malam sampai 3 pagi, 5 pagi. Bila orang tanya kenapa tak had pukul 12 (malam), 1 pagi? Kata ikut lesen yang ada.
 
“Kalau dulu lesen sampai pukul 5, (kekal) pukul 5. Kalau dulu pukul 3, (kekal) pukul 3. Maknanya tak ada beza. Sepatutnya bila kita ambil alih, kita betulkan yang tak betul kepada kebenaran. Baru nampak perbezaan tersebut.
 
“Kita tak boleh ikut sistem yang tak betul. Tujuan kita membetulkan apa yang tak betul. Jadi fikir dalam kerangka besar,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 12/1/2019
Advertisement