JAKIM disaran atasi kekeliruan pengguna Muslim

nasrudin3

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil serius tindakan sesetengah peniaga yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an, nama dan imej Islam di premis perniagaan walaupun mereka bukan beragama Islam.

Advertisement

Tindakan tersebut dipercayai untuk menarik minat dan kepercayaan pengguna Muslim untuk membeli barang dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Kebelakangan ini, kes-kes restoran banyak menggunakan kaedah ini. Tindakan tersebut seolah-olah memperlekehkan Islam. Ia dijadikan faktor pelaris perniagaan semata-mata.

Walhal, makanan yang dihidangkan seperti ayam, lembu dan kambing dibimbangi tidak mematuhi kaedah penyembelihan yang ditetapkan oleh Islam. Ia akan mengelirukan pengguna Muslim.

PAS mencadangkan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) segera mengatasi masalah ini supaya pengguna Muslim tidak terjebak dengan permainan kotor segelintir peniaga yang memperlekehkan Islam.

Satu maklumat lengkap yang menyenaraikan premis-premis ini perlu dipaparkan kepada umum sebagai satu panduan pengguna.

Selain itu, satu tindakan tegas seperti penarikan lesen perniagaan dan hukuman berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunakan pendekatan ini.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
8 Jamadil Awwal 1440 | 14 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 14/1/2019