Pelan strategik keluarkan Sabah dari ‘Negeri Terbakar’

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah ingin mengucapkan takziah kepada seluruh mangsa kebakaran di Pasir Putih, Putatan dan Kg Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat.

Advertisement

Kebakaran sudah menjadi satu perkara lumrah bagi Negeri Sabah. Tragedi seperti ini sudah berulangkali berlaku. Jumlah rumah dan mangsa kebakaran pula sangat besar. Tragedi seumpama ini tidak akan selesai sampai bila-bila jika pihak berkuasa tidak mengambil langkah yang drastik dan sistematik.

Perkara utama yang perlu dilakukan ialah mewujudkan satu pelan tindakan jangka panjang khususnya untuk menyelesaikan masalah setinggan dan perkampungan atas air.

Saya masih ingat pada awal tahun 2000, kerajaan pernah memperkenalkan polisi setinggan sifar, tetapi nampaknya tiada gerak kerja yang ketara ke arah itu.

Kerajaan yang baru diminta melihat perkara ini dengan serius. Keperitan penduduk yang mengalamai musibah ini harus dirasai bersama. Kemudahan yang sebaiknya mesti disediakan oleh pihak berkuasa.

Saya difahamkan kebakaran yang merebak di Kg Perpaduan, Pulau Banggi disebabkan tidak ada perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat di kawasan tersebut.

Di samping itu semua pihak hendaklah saling membantu bagi meringankan mangsa yang menghadapi musibah.

PAS Sabah sendiri telah mengaktifkan bilik gerakan bagi PAS Kawasan Putatan dan PAS Kawasan Kudat. Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah juga sudah turun ke kawasan-kawasan bagi membantu dan menyampaikan bantuan kepada mangsa.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
14 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 14/1/2019