Yang pimpin Bersatu, PKR adalah Umno

SAYA ikuti sepenuhnya ucapan dasar Dr. Mahathir dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang intinya menyesali keburukan pimpinan Umno Najib dan meletakkan sentimen masyarakat majmuk menggagalkan cita-cita perjuangan kemerdekaan yang Melayu mahu.

Advertisement

Bolehlah dikira kini falsafah kebangsaan Melayu, satu bahasa, satu budaya, satu kebangsaan, satu bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang jadi tapak perjuangan kemerdekaan musnah dan tersadai belaka.

Betul-betul ia mimpi. Maksud ini ada dalam ucapan itu.

Pimpinan Najib dengan Umno tidak boleh dibela oleh sesiapa. Tiada loyar boleh mewakilinya malainkan berloyar buruk. Keburukan dan kegagalan yang ada pada Umno itu bukanlah bermula dari tahun 2003 setelah ia ditinggalkan oleh Dr. Mahathir.

Tun Abdullah Badawi dan Najib adalah mewarisi pemerintahan dan sistem yang sudah buruk. Cuma menambah buruknya sahaja terutama di bawah Najib.

Jika momok PH tidak mudah dan tidak siapa dapat membetulkan keburukan yang Umno dan Najib tinggal dalam masa yang singkat, kerana terlalu teruk adalah benar. Rasuah dan hutang adalah amat melampau, tak terpikul oleh orang yang kemudian.

Mungkin Mahathir dan Anwar Ibrahim mati dulu belenggu itu tidak selesai lagi. Tetapi beban dan belenggu yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin sebelum tahun 2003 justeru teruknya juga adalah tidak terpikul oleh Abdullah dan Najib.

Yang dikira keburukan yang ditinggalkan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Husein Onn disebut oleh pendatang baru Anwar Ibrahim ke dalam Umno sebagai yang tidak dapat dikompromi. Dia menyertai Umno semasa Mahathir kerana dia tidak mewarisi teruk orang-orang sebelumnya. Kononnya sebagai anak yang berbapa dan beribukan Umno, dia tidak dapat menerima keburukan mereka, tetapi dikatakan Dr. Mahathir adalah lain.

Gejala rasuah dan penyelewengan kerajaan dan orang-orangnya dikatakan begitu teruk menyebabkan menteri Bahaman Samsudin yang jadi menteri sejak tahun 1955 tidak mahu jadi menteri lagi di bawah pimpinan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak.

Masa itu rasuah sudah ada tetapi tidak seteruk jiran di utara dan selatan. Menteri Bahaman kata ia sudah teruk.

Bila Mahathir datang, siapa kata dia bersih daripada yang diwarisinya. Persepsi merasakan dia tidak kurang dari orang sebelumnya. Cuma masa itu tidak ada orang yang marah kepada Umno dan pemimpin seperti yang ada pada zaman Najib. Cuma Najib teruk itu sudah memuncak.

Pembangkang sejak 61 tahun dahulu sudah membangkitkan hal itu. Bila Tun Razak jadi PM, dia beri laluan kepada BPR, SPRM masa itu bagi menangani amalan rasuah, ada MB dan YB yang dihukum. Tun tidak teruskan kelonggaran itu.

Isu agama, tidak siapa memperjuangkan satu agama bagi masyarakat berbilang agama. Ia bukan cara Islam. Tetapi bahasa, sekolah, kebudayaan dan lain-lain, itulah yang dimahukan oleh Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. Tunku melambatkan kerana perlembagaan menyebut supaya tunggu 10 tahun selepas merdeka.

Menjelang 10 tahun merdeka, Parlimen tidak laksana sepenuhnya dasar satu bahasa, satu sekolah. Albar kata, Mahathir dikirim Tun Razak jumpanya, ajak jangan laksanakan dasar itu 100 peratus demi kemenangan Umno dalam pilihan raya.

Menteri Pelajaran Rahman Ya’kub tahun 1970 tetapkan dasar satu bahasa pengantar bagi semua sekolah. PM Tun Razak takut nanti Cina hantar anak sekolah luar negeri. Bila Rahman Ya’kub jadi Ketua Menteri Sarawak, Razak batalkan pelaksanaannya.

Mahathir, Anwar pernah jadi pimpinan Umno. Apa mereka buat memartabatkan falsafah perjuangan Melayu? Jangan salah sentimen Cina dan India! Pemimpin Umno dari dahulu tidak buat kerja, Najib sambung sahaja. – HARAKAHDAILY 14/1/2019