Sejarah PAS: Apa kata Mustafa, Pak Daeng

DUA jasawan yang pernah jadi pimpinan tertinggi PAS selama lebih 40 tahun sudah jarang didengar sekarang. Kedua-duanya layak menjadi anggota Assabiqun parti itu antara yang masih ada dan boleh memberi komentar politik semasa, apa lagi tentang sejarah dan dunia politik zaman mereka dahulu.

Advertisement

Mereka sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai forum mengenai sejarah PAS dalam Seminar Sejarah parti itu pada 19 Januari ini di Dewan Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak.

Mereka akan bersama saya dalam forum itu bagi mengkisah dan menganalisis sejarah PAS yang dua tahun lagi genap 70 tahun. Mustafa Ali sudah pertengahan 70-an. Sebahagian besar daripada usia mereka menjadi rencah bagi sejarah parti itu. Pak Daeng Sanusi, kini kurang satu 80 tahun sudah terlibat dalam pimpinan PAS lewat tahun 60-an adalah baki penuntut Prof. Zulkifli Mohamad di Kolej Islam Klang yang masih ada.

Mustafa muncul dalam pimpinan awal tahun 70-an. Kedua-dua mereka berada di tengah-tengah kancah krisis PAS yang getir gara-gara penyingkiran PAS daripada Barisan Nasional hujung tahun 70-an. Kedua-duanya juga terlibat dalam rundingan dengan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.

Rakan seangkatan mereka sudah tidak ramai untuk menceritakan pahit maung perjuangan silam PAS dan akan berada dalam program forum satu jam itu. Masa terlalu singkat bagi pengkisahan sejarah 70 tahun.

Tentu semua mahu mendengar apa komentar dan persepsi mereka tentang sejarah parti mereka sebagai orang dan sumber dalaman yang ikut mencorakkan sejarahnya. Pembuat sejarah yang terus bergerak itu mungkin dapat memberi apa yang kita semua tidak tahu selama ini.

Jika Arkib Negara mahu melengkapkan rekod sejarahnya, ia mesti jangan lepaskan peluang itu. Sumber sejarah dari mulut mereka jauh lebih sempurna daripada mendengar dari mulut orang lain.

Seminar sehari itu akan disiar secara langsung sepenuhnya melalui media Facebook nthmedia www.nthmedia.com.my boleh diikuti dari seluruh negara dan setiap benua.

Sekalian suri rumah yang tidak sempat datang ke Taman Melewar boleh mengikutinya melalui Facebook itu sambil mengasuh anak dan menyiapkan kerja rumah.

Seminar yang dikendali bersama Assabiqun, KUIZM dan Institut Pemikiran Tok Guru ini kebetulan menjadi mukadimah sambutan 70 tahun PAS dua tahun lagi iaitu tahun 2021. – HARAKAHDAILY 16/1/2019