Kertas kerja Fadli sebuah buku

SAYA dimaklumkan dalam mesyuarat persiapan Seminar Sejarah PAS bahawa kertas kerja yang disediakan oleh Mohd Fadli Ghani dijadikan sebuah buku setebal 50 muka.

Advertisement

Kertas iu padat dengan fakta sejarah PAS yang dua tahun lagi genap 70 tahun.

Saya ditanya adakah saya hendak semak kertas itu dahulu?

Jawab saya, kerana yang menyiap kerja itu Fadli, saya percaya kepadanya, saya tidak perlu semak, bahkan kalau saya ada kertas, dia yang semak.

Niat untuk memberi buku sejarah kepada seminarin dan seminarat tercapai apabila kertas Fadli diangkat sebagai sebuah buku sejarah PAS yang komprehensif.

sejarahAsalnya kami bercadang untuk memberi mereka buku Sejarah PAS 1951-1957 karangan saya bersama Fadli yang diterbitkan oleh Harakah tiga tahun lalu. Buku itu habis dalam simpanan Harakah. Untuk ulang cetak tidak sempat dan dengan nilai ringgit yang rendah sekarang harga cetak bertambah tinggi.

Saya tawaqufkan pemberian itu. Bila saya tahu kertas Fadli itu begitu tebal, maka kita setuju jilid ia sebagai sebuah buku bagi memenuhi cadangan asal. Dengan yuran seminar tidak ditambah, mereka boleh pulang dengan sebuah buku sebagai hadiah.

Semasa saya tanya dia adakah kertasnya sudah siap, dia tanya saya dia tidak menerima surat minta menyediakan kertas itu. Dia dengar melalui mulut sahaja.

Saya beritahu dia, permintaan melalui lafaz adalah lebih bererti. Al-Quran itu turunnya melalui lafaz. Lama selepasnya baru disuratkan.

Anggaplah lafaz saya itu suatu yang rasmi, jika ada surat ia sekadar susulan. Dia setuju dan saya beri masa sepuluh hari. Petang 10 Januari baru saya tanya kertasnya sudah siap atau belum?

Jawabnya, masa tanya itu belum genap sebuluh hari. Beberapa jam lagi baru genap 10 hari. Tetapi ia sudah siap untuk dicetak. Ada masa sembilan hari lagi seminar hendak diadakan. Seminarin akan dapat buku itu semasa pendaftaran.

Mungkin ia disediakan secara gopoh gapah. Yang terburu-buru itu kadang-kadang memberi kesan yang besar.

Saya teringat Presiden Amerika, Abraham Lincoln. Dia belum menyediakan ucapan kemenangannya dalam perang saudara Amerika. Dia ada masa empat minit dalam perjalanan ke tapak kemenangan. Masa itu dia merangka ucapannya. Ucapan ringkas itu jadi ucapan masyhur dalam sejarah negara itu.

Kita sama-sama tunggu dan nilai kertas yang jadi buku bagi Seminar Sejarah parti politik tertua selepas Umno tetapi ia tidak pernah diharamkan, tetapi Umno pernah. Ertinya rekod ada pada PAS. – HARAKAHDAILY 18/1/2019