PAS makin disenangi, terus disaingi

“PAS perlu dilihat mampu memimpin masyarakat, bukan sekadar mampu memimpin parti,” pesan Pak Subky Latif, veteran PAS.

Advertisement

Kebimbingan rakyat

Menurut beberapa tinjauan pendapat yang dijalankan di penghujung tahun 2018, kerisauan paling utama dalam kalangan rakyat bagi tahun 2019 masih berlegar dalam perkara yang sama iaitu permasalahan ekonomi (economic concerns) seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan, diikuti kebimbangan terhadap penularan gejala sosial dan jenayah yang tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Manakala tinjauan keyakinan di kalangan peniaga dan pengusaha pula mendapati sentimen perniagaan bagi enam bulan pertama 2019 dijangka terus lemah, disumbangkan oleh ketidaktentuan ekonomi, kenaikan kos dan peningkatan persaingan sehingga menjejaskan prospek pengusaha kecil dan sederhana di seluruh negara.

Lebih daripada itu, sudah mula timbul kesedaran dalam kalangan umat Islam yang menyaksikan kelantangan pihak tertentu yang secara terbuka berani mencabar, mempersoal dan menggugat kedaulatan Agama Islam, institusi Raja-Raja, hak keistimewaan Bumiputera serta kedudukan Bahasa Melayu, atas nama kebebasan dan kesamarataan mengikut tafsiran Barat.

Penerimaan PAS

Di sebalik segala kebimbangan ini, kesungguhan PAS dalam menjuarai kebajikan rakyat, menjaga keharmonian kaum dan menjadi jurubicara ummah perlu terus ditonjolkan, khususnya apabila rakyat sedang menyaksikan kegagalan kerajaan menangani segala permasalahan negara dan rakyat.

Keberadaan PAS di ‘garis pertengahan’ di antara kerosakan kerajaan baharu dan kegagalan kerajaan dahulu menyerlahkan jatidiri PAS, memilih pendekatan politik matang dan berprinsip (BPMS) secara konsisten, berpolitik untuk memelihara kepentingan agama dan rakyat, serta berpolitik untuk menyelesaikan permasalahan negara dengan penyelesaian Islam.

Presiden PAS menegaskan bahawa pendekatan BPMS yang diambil oleh PAS merupakan kaedah terbaik untuk menarik penerimaan rakyat. Pendekatan BPMS juga merupakan strategi terbaik bagi menghadapi persaingan politik semasa, di mana kawan dan lawan boleh berubah, namun sesekali tidak mengubah prinsip perjuangan Islam yang menjadi akar kepada penubuhan PAS.

Dalam hal ini, produk Pemuda PAS seperti AMAL, PASTI, SRITI, dan DACS adalah sebahagian daripada jambatan untuk PAS menyantuni setiap segmen masyarakat. Manakala Kelantan dan Terengganu merupakan model yang boleh diketengahkan oleh PAS untuk menunjukkan pelaksanaan Islam secara praktikal dalam aspek integriti, keadilan, kemakmuran, dan keharmonian bernegara.

Inilah keunikan yang perlu diketengahkan oleh PAS kepada rakyat, dan inilah yang akan menyebabkan PAS semakin disenangi dan terus disaingi.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
17 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 17/1/2019