Campur tangan, persepsikan, burukkan imej Islam

KUALA LUMPUR: Kaum bukan Islam menunjukkan campur tangan yang berleluasa secara tidak sepatutnya terhadap hal ehwal Islam sejak pemerintahan negara ini diterajui oleh Kerajaan PH.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara sama berlaku dalam Parlimen yang disifatkan beliau sebagai hal ‘menyayatkan’ hati dan merungsing fikiran umat Islam.

Malah katanya, tindakan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam menyentuh perkara-perkara berkenaan juga dilihat seakan menjadi satu agenda untuk mewujudkan persepsi dan menempel imej tidak baik serta memalukan Islam.

Senario itu dinyatakannya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perpaduan Ummah Johor yang turut menghimpunkan pimpinan PAS dan Umno serta NGO di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru kelmarin.

Antara dikemukakannya ialah pertikaian Ahli Parlimen bukan Islam untuk membenarkan ajaran Syiah diamalkan di negara ini, selain menyentuh institusi-institusi Islam dengan mendatangkan kerugian tertentu.

Perkara seumpama katanya, berlaku juga ke atas Tabung Haji untuk mewujudkan rasa tidak percaya dalam kalangan orang Islam sendiri, sedangkan ia institusi terbaik di Asia Tenggara dan dunia dalam pengurusan haji.

Tegasnya, PAS berpendirian walaupun terdapat ketidaksempurnaan dan kesilapan, tanggungjawab amar makruf adalah membetulkannya dan bukan meruntuhkan sebagaimana sedang dilakukan PH hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, kepincangan yang didakwa dan dikemukakan laporannya ke Parlimen itu tidak dibentangkan untuk perbahasan di mana disifatkan beliau PH tidak berani berhadapan untuk hal itu.

Bidasnya, PH tidak ‘gentleman’ kerana membawa isu tersebut ke sidang media di luar perbahasan Parlimen dan tindakan itu adalah tidak betul, malah jauh daripada kebenaran yang sebenarnya.

“Tujuannya lain. Akhir sekali menjadi alasan mereka mewajarkan aset-aset yang paling proaktif di dalam Tabung Haji dipindahkan ke SPV yang diletak di bawah Bank Negara. Menterinya adalah Menteri Kewangan yang namanya Lim Guan Eng.

“Ada banyak lagi agenda (mereka). Kerajaan yang ada sekarang, setakat ini dalam Parlimen apapun rancangan mereka bentang belum mengemukakan jalan keluar yang konkrit untuk selesai masalah rakyat.

“Mereka belum sedar bahawa mereka kini kerajaan, mereka masih berperangai seperti pembangkang. Masalah rakyat bawahan tidak berkesudahan,” tempelaknya.

Untuk itu, beliau mengajak kesatuan umat antara solusinya sebagaimana pernah dinyatakan Presiden PAS sebelum PRU14 bahawa negara ini mesti dipimpin oleh orang Islam-Melayu demi kestabilan dan konteksnya. – HARAKAHDAILY 18/1/2019