Adakah Peguam Negara mahu berkempen?

KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan menyaman Kerajaan Negeri Kelantan bagi menuntut hak mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, apa tujuan Kerajaan Persekutuan membawa isu itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sedangkan ia sudah lama berlaku.

“Perkara ini sudah lama berlaku. Kenapa Peguam Negara membawa isu ini masa PRK Cameron Highlands?

“Adakah Peguam Negara mahu berkempen untuk PRK Cameron Highlands? Adakah mereka tidak terfikir sebelum pilihan raya?” soal beliau ketika sidang media selepas merasmikan pSeminar Sejarah PAS di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM, di sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, di peringkat kerajaan negeri sudah ada penasihat perundangan yang mewakili kerajaan negeri.

“Sepatutnya apa perkara perlu rujuk kepada penasihat undang-undang negeri, tidak boleh terus saman kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, sekumpulan peguam terkenal sudah bergabung untuk membela Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu itu.

“Sehingga hari ini, saya difahamkan oleh kerajaan negeri (Kelantan) sekumpulan peguam terkenal sudah bergabung untuk membela kerajaan negeri secara khidmat percuma bagi kes saman daripada Kerajaan Pusat,” katanya.

Perkara itu merupakan pertama kali dalam sejarah Kerajaan Persekutuan menyaman kerajaan negeri.

Sebelum ini, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan Putrajaya memfailkan saman terhadap Kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana pencerobohan penempatan-penempatan Orang Asli.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan lima entiti swasta. – HARAKAHDAILY 19/1/2019