Etika Penguasa Badan Kehakiman

DALAM Islam, pelaksana badan kehakiman seharusnya menampilkan etika serta akhlak yang terpuji dalam mendukung integriti institusi kehakiman. Ini kerana, pejuang keadilan bukan sahaja bertindak mengurus undang-undang, bahkan mereka menunjukkan contoh melalui akhlak diri mereka sendiri.

Advertisement

Perkara ini telah menjadi praktis pemimpin Islam terdahulu. Dengan sebab itu Umar Abdul Aziz menggariskan lima sifat yang seharusnya dimiliki oleh penguasa undang-undang iaitu:

أن يكون صلبا نزيها عفيفا عليما بما كان قبله من القضاء والسنن

“Hendaklah dia menjadi seorang yang teras (dirujuk), bersifat bersih dan berakhlak mulia, pakar dalam bidang perundangan (al-Qada’) dan sunan.”

(Ahkbah al-Qudha’, Waki’, 1/78).

Ketika menulis surat kepada Gabenornya di Mesir yang bernama al-Asytar al-Nakha’ie, Saidina Ali berpesan kepada beliau agar memilih orang yang melaksanakan undang-undang itu adalah yang terbaik di kalangan kamu. Bahkan Saidina Ali berpesan:

ولا يكتفي بأدنى فهم دون أقصاه، وأوقفهم في الشبهات

“Dan tidak memadai (orang yang menguruskan undang-undang) itu hanya dengan pengetahuan yang sedikit tentang perundangan, bahkan dia mestilah orang yang juga menjauhi perkara yang syubahat.”

(Nahj al-Balaghah Min Kalam al-Imam Ali)

Di sini Saidina Ali menegaskan bahawa, mereka yang mentadbir urusan perundangan bukan sahaja mesti mahir dalam perkara itu malah menjauhi perkara yang syubahat, apatah lagi perkara yang di dalam Islam.

Barangkali ada yang berkata, “Alah, itu urusan peribadi dia.” Lantak dialah dia nak menonggeng ke, nak minum ke, yang penting dia adil!!”

Inilah bezanya Islam dengan Liberal. Islam tidak mengasingkan akhlak sesama manusia dengan adab dengan Allah. Akhlak dan etika ini apabila disatukan akan menghasilkan insan yang kamil, adil di dunia, mulia di sisi Allah.

Moga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI

Sumber FB Dr Ahmad Sanusi- HARAKAHDAILY 19/1/2019