MB tahu kena saman melalui media

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan masih menunggu kenyataan rasmi Pejabat Peguam Negara berhubung saman kerajaan pusat berkaitan isu tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri sehingga sekarang masih lagi menunggu dokumen rasmi mengenai tindakan saman tersebut.

Katanya, sehingga sekarang makluman mengenai saman terbabit hanya diketahui menerusi media massa tanpa sebarang dokumen pengesahan.

“Langkah tersebut tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia malah menimbulkan tanda tanya kenapa langkah berkenaan dilakukan.

“Saman kerajaan pusat kepada kerajaan negeri ini adalah satu sejarah kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi kita bersedia untuk berdepan dengan saman tersebut,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 di sini semalam.

Jumaat lalu Peguam Negara Tommy Thomas dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan menyamankan kerajaan Kelantan bagi menuntut mendapat pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri akan putus sebarang keputusan berkaitan isu terbabit dalam majlis Exco,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 21/1/2019