Pusat belakangi ketua komuniti Orang Asli

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di sini menyifatkan kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat maklumat jelas sebelum menyamankan kerajaan negeri.

Advertisement

Penghulu Tanpa Mukim Dun Nenggiri Jumak Abak berkata, kerajaan PH hanya mendapat maklumat sebelah pihak berkaitan masyarakat Orang Asli.

Kata beliau sepatutnya kerajaan pusat perlu merujuk kepada penghulu atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Orang Asli.

“Sepatutnya permasalahan isu tanah Orang Asli di Kelantan perlu mendapat pandangan ketua komuniti dan bukannya segelintir pihak yang ada kepentingan politik,” katanya di sini.

Jumaat lalu Peguam Negara Tommy Thomas dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan menyamankan kerajaan Kelantan bagi menuntut mendapat pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang.

Malah peguam terbabit juga mendakwa hak Orang Asli sebagai warga negara diabai dan dilanggari untuk sekian lamanya.

Jumak juga berkata, hujah Peguam Negara terbabit hanya sekadar mengulangi perjuangan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung yang menuntut tanah adat yang tidak pernah wujud di Kelantan.

“Isu itu sudah reda tiba-tiba dibangkit semula kerajaan. Ini secara jelas ada mesej politik bagi mengugut kerajaan Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/1/2019