Anwar: 100 hari ‘harapan’ palsu

SEDARKAH rakyat Malaysia bahawa hari ini 23 Januari 2019 bermakna sudah genap 100 hari Dato’ Seri Anwar Ibrahim bergelar Ahli Dewan Rakyat setelah mengangkat sumpah secara rasmi pada 15 Oktober 2018 iaitu selepas dua hari kemenangannya pada PRK P.132 Port Dickson.

Advertisement

Namun, sejak itu bekas penghuni Penjara Sungai Buloh ini mendaki kedudukannya selaku suami Timbalan Perdana Menteri, termasuk ‘memindahkan’ kuasa Presiden PKR dipegang isteri menjadi miliknya. Namun, masih jelas terpasung langkah Anwar untuk berada di singgahsana Putrajaya selaku Perdana Menteri yang disebut sebagai ‘bakal’ berulang-ulang kali selama ini.

Paling tragis sekali untuk dibicarakan adalah nasib rakyat yang selama ini mendengar berdegar-degar butir bicara pukau pesonanya. Semua ucapan beliau banyak terakam di media sosial dengan segala kata janji yang kini ghaib tanpa dikota. Tenggelam Anwar bersama alasan penipuan dan mungkir PH terhadap manifesto sendiri.

Antara gah diungkap Anwar adalah, “Naik menang Putrajaya hari ini, esok angkat sumpah, 24 jam harga minyak turun.” Tetapi hakikat yang terjadi, sepanjang hampir setahun PH menerajui Putrajaya, harga minyak hanya sekali turun itupun cuma beberapa sen. Terlalu jauh dari janji yang pernah dibayangkan kepada rakyat selama ini.

Bahkan penuh yakin, Anwar menempelak kebimbangan bankrap yang dialasankan pemerintahan BN untuk membatalkan hutang PTPTN. Anwar cukup sedih menzahirkan simpatinya kepada graduan yang cuma bergaji RM1,100 tetapi dikejar untuk tetap membayar hutang PTPTN. Malangnya di bawah pemerintahan PH, penghutang PTPTN tetap dihambat dengan pelbagai kaedah. Malah, gaji minimum yang diperjuangkan RM1,500 tetapi ditetapkan pada kadar RM1,100 oleh Kerajaan PH. Logiknya bagaimana graduan akan membayar hutang jika bergaji secupak itu?

Tarif elektrik yang dibidas beliau menguntungkan kroni Umno, ditegaskan beliau dengan notis dua minggu untuk kadarnya diturunkan apabila menerajui Putrajaya. Tiba-tiba di bawah Kerajaan PH, rakyat sudah menerima ‘notis’ bayangan bahawa kadar tarif air pula bakal dinaikkan.

Beliau juga lantang membidas hubungan kronisme pemimpin dahulu dengan konglomerat pengeluar gula dan pemilik stesen Astro yang didakwanya mahal. Adakah sejak PH berkuasa harga gula dan barangan lain turun, sementara pakej Astro semakin murah? Sebaliknya PH semakin mendapat liputan lebih baik daripada stesen tv berkenaan.

Usah dihitung pula banyaknya kritikan tajam Anwar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Paling kurang diserangnya adalah isu Mahathir mengkayakan anak-anak dengan nilai berbilion ringgit. Antara dikritiknya mengenai memegang pemilikan syarikat minyak Petron. Tetapi selepas PH menang PRU14, Petron dilantik menjadi antara pembekal minyak kenderaan kerajaan tanpa kedengaran kritikan Anwar.

Kini, setelah rakyat menunggu 24 jam dan 100 hari yang tidak menghadirkan sebarang janji ditunaikan baik daripada PH mahupun Anwar, apakah semua itu akan direalisasikan apabila status Anwar sebagai ‘bakal PM’ berakhir? Apakah pula yang Anwar akan janjikan kepada pengundi PRK P.078 Cameron Highland yang beliau dijangka menyampaikan ceramah malam ini? – HARAKAHDAILY 23/1/2019