Kit Siang habis modal, fitnah Presiden PAS

RENTAK tari pemimpin DAP sangat sumbang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands terserlah kerakusan mereka menggunakan jentera kerajaan untuk menang PRK, manakala di alam siber parti cauvanis ini dibuli oleh netizen saban waktu. Ada sahaja tingkah mereka menjadi modal perlecehan dan komoditi gelak ketawa pasukan tentera siber.

Advertisement

Riduan Mohamad NorDato’ Seri Najib Razak menembak santai mereka dengan puluhan ribu “likes” serta ” share”, kesombongan pemimpin utama DAP diredam dengan bergaya oleh Najib serta seteru DAP yang lain. Kini DAP dan pemimpin PH menghalakan serangan mereka terhadap PAS pula kerana tidak meletakkan calon, termasuk Kit Siang yang memfitnah Presiden PAS.

Kenyataan Lim Kit Siang yang mendakwa Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerusi kepimpinan PAS bertemunya untuk membincangkan soal perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas adalah kenyataan tidak bertanggungjawab dan dilihat sekadar mahu meraih undi dalam PRK Cameron Highlands.

Beliau mengungkit kisah silam menjelang PRU13 lebih tahun dahulu mendakwa bahawa pemimpin PAS mahu berbincang mengenai calon Perdana Menteri daripada Pakatan Rakyat kerana merasakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak sesuai.

Kenyataan Lim Kit Siang bersifat jahat seolah-olah mendakwa pemimpin PAS mahu mencalonkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri namun mencadangkan calon lain iaitu veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah. Katanya apabila pemimpin DAP membantah dan bertegas Anwar harus terus menjadi calon PR, dan DAP tidak mencadangkan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai calon, pemimpin PAS menggugurkan subjek itu kerana tahu DAP tidak akan menyokong Tuan Guru sebagai perdana menteri dan cadangan menggantikan Anwar tidak lagi ditimbulkan.

Dari mana fakta yang mengatakan Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu menjadi Perdana Menteri sedangkan kenyataan yang disebut pemimpin PAS hanya mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai PM, dan bukannya Tuan Guru Abdul Hadi.

Jika sekalipun Anwar tidak dicalonkan oleh PAS sebagai PM, ini bermakna PAS memberikan banyak pilihan kepada Pakatan Rakyat calon yang boleh diangkat sebagai PM. Dan ini bukan juga bermakna PAS mahu mengangkat Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai PM. Apakah Lim Kit Siang sedang bermimpi di siang hari sehingga lupa terhadap kenyataannya sendiri itu?

Tuan Guru Abdul Hadi dalam satu kenyataannya mengesahkan bahawa PAS tidak pernah mencalonkan diri untuk menjadi perdana menteri, atau menggelarkan diri sebagai perdana menteri menanti. Penafian Presiden PAS membuktikan PAS tidak tamakkan kedudukan dan jawatan untuk menjadi PM. PAS tidak pernah bercita-cita merebut jawatan PM daripada dulu sampai sekarang berbanding tokoh lain yang disebut-sebut bakal menjadi PM selepas ini.

Apakah Lim Kit Siang sedang menggelupur mencari kemenangan Pakatan Harapan di Cameron Highlands sehingga membuat kenyataan di luar topik? Adakah sudah kering idea dan isu untuk diketengahkan bagi perjuangan Orang Asli dan pengundi di Cameron Highlands itu sehingga PAS yang tidak bertanding di PRK Cameron Highlands juga turut diheret sama dalam kempen PRK?

Mungkinkah beliau sudah tidak ada jawapan ketika rakyat mula mengasak dan mempersoalkan di mana janji-janji manis seperti tercatat dalam Manifesto PH dalam PRU ke 14 tempoh hari? Apakah jawapan Lim Kit Siang ketika ramai pihak mula meragui kemampuan kerajaan PH serta mempersoalkan setiap menteri kabinet yang kelihatan gagal sepanjang hampir setahun ini pemerintahan PH

Dalam usia veteran itu, Lim Kit Siang sepatutnya terlalu matang dalam berpolitik dan cerdik dalam membuat ulasan. Tokoh DAP ini menjinjing bagasi sejarah hitam semenjak tragedi 13 Mei 1969 dan beliau kelihatan tidak pernah mahu berubah.

Kenyataan dangkal seperti itu tidak patut keluar dari mulut tokoh besar DAP itu, kerana ia akan memamah harga dirinya sendiri. Kepercayaan penyokong taksub padanya selama ini akan hilang terhakis dengan kenyataan berunsur fitnah, adu domba dan jahat seperti itu. Era kerajaan ‘baharu’ ini, rakyat semakin bijak mencerna isu politik dan mengenal yang mana fakta dan mana auta.

Cukuplah Lim Kit Siang menjadi pembohong, dengan sikap suka menghina dan merendahkan Presiden PAS kerana semakin lama masyarakat semakin sayang dan percaya kepada keperibadian Presiden PAS yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 23/1/2019

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.