Rekod PH boleh tercalar di Cameron Highlands

PASCA Pilihan Raya Umum (PRU) 14, empat Pilihan Raya Kecil (PRK) telah diadakan. Tiga PRK disebabkan berlaku kematian penyandang, manakala satu kerana meletak jawatan.

Advertisement

Kesemuanya dimenangi bergaya Pakatan Harapan (PH). Di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia calon PKR, Halimey Abu Bakar mengekalkan kerusi PH.

Beliau mengatasi calon PAS Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi.

Di Dun Sungai Kandis pula Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PH) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Lokman Noor Adam majoriti 5,842 undi.

Begitu juga di Dun Balakong calon DAP, Wong Siew Ki mengalah MCA, Tan Chee Teong dengan kelebihan 18,533 undi.

Siri akhir PRK tahun lepas di Parlimen Port Dickson. Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatasi Lef Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dengan majoriti 23,560 undi.

Ini bermakna PH mengatasi pembangkang dengan agregat 4-0. Adakah Sabtu ini agregat bertambah kepada kedudukan 5-0 atau 3-1.

Namun cabaran PRK Cameron Highlands berbeza dengan empat PRK tahun lepas.

Empat PRK tersebut berlangsung di negeri dikuasai PH. Namun Pahang masih setia di bawah BN.

Ramai melihat cabaran sebenar PRK pasca PRU 14 benar-benar berlaku di Cameron Highlands. PRK di Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai penyokong tegar DAP yang sukar digugat.

Cameron Higlands tidak memperlihatkan fenomena itu biar pun Dun Tanah Rata dikuasai PH melalui Chiong Yoke Kong. Calon PKR itu menang dengan majoriti 3,589 undi.

Namun di Dun Jelai pula calon PH Dr Abdul Rasid Ali hanya berada di kedudukan tiga selepas calon PAS, Abdul Karim Nor pada PRU lepas. Abdul Rasid mendapat 1,298 undi manakala PAS – 2,351 undi.

Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula memperolehi 5,858 undi. Menteri Besar Pahang itu menang dengan majoriti 3,507 undi.

Kalau diambil kira kondisi sekarang gabungan pembangkang Dun Jelai menyumbang 8,209 undi. Kalau dicampur pula kedudukan itu bermakna gabungan pembangkang mampu mengatasi PH dengan kelebihan 6,911 undi.

Dan kalau diambil kira gabungan pembangkang di Dun Tanah Rata pula, jarak majoriti PH akan berkurang kepada 2,989 undi.

Berdasar teori mudah itu bermakna PH agak sukar untuk menggugat ketuanan BN di Cameron Highlands.

Situasi tersebut juga disedari Penasihat DAP Lim Kit Siang. Pemimpin itu dilapor meminta pengundi menyokong PH Sabtu ini.

Begitu juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mengakui DAP berdepan perlawanan sengit.

Kerisauan serupa dikongsi Naib Presiden DAP M Kulasegaran. Menurutnya bukan mudah untuk meraih undi masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.

Lebih-lebih lagi faktor Tahun Baru Cina. Hanya 10 hari menjelang sambutan itu menyulitkan pengundi Cina untuk pulang dua kali ke kampung dalam masa singkat.

Begitu juga faktor calon lama yang ditampilkan semula. M Manogran sudah kali ketiga mencuba nasib di situ. Kesilapan itu memberi kelebihan kepada Ramli Mohd Nor.

Bekas pegawai kanan polis terbabit boleh memecah rekod tanpa kalah PH di pentas PRK pasca PRU 14.

Kelebihan Ramli juga daripada suku kaum Orang Asli. Itu juga sejarah baharu bagi kelompok minoriti tersebut.

Kata seorang penduduk Orang Asli, kecederungan politik mereka hanya di simpan dalam hati. Bagaimanpun beliau mengakui Orang Asli masih setia dengan politik lama.

“Politik lama akan kekal lebih-lebih lagi kali ini ada calon Orang Asli yang juga seorang Muslim,” katanya yang mahu dikenali dengan panggilan Ina.

Begitu juga bagi Batin Azmeer, masyarakat Orang Asli tidak suka pertelingkahan kerana politk.

Tiba-tiba babak tegang yang dipamerkan seorang pemimpin DAP Melayu. Lebih-lebih lagi pemimpin terbabit berjawatan timbalan menteri.

Biar pun pemimpin PH bertali arus ke Cameron Highlands, namun pengundi Melayu semakin tawar hati.

Paparan gambar menteri, peguam negara dan Ketua Hakim Negara berdansa menyebabkan saham PH merosot lagi.

Kata pengundi di Sungai Koyan, orang Islam tidak boleh menerima aksi seumpama itu. Isunya jawatan yang diterajui mereka menjadi persoalan.

Saham PH tambah mengesot apabila Peguam Negara Tommy Thomas tiba-tiba mendedah Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan.

Lebih-lebih lagi disebut pula tindakan saman bagi memenuhi manifesto PH. Kronologi tersebut mengandakan lagi nasib malang PH. Seakan-akan nasib kali ini kurang menyebelahi PH.

Akhirnya impian PH memecah rekod 5-0 dilihat makin samar. Paling tidak pun agregat nampak lebih cenderung kepada 4-1. – HARAKAHDAILY 23/1/2019