Sandiwara DAP terhadap orang Melayu

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Kedah berdiri teguh di belakang Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamad Khalil Abdul Hadi yang mendedahkan sandiwara DAP terhadap Islam dan orang Melayu di negara ini.

Advertisement

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Ustaz Nurul Amin Abdul Hamid berkata, pendekatan lunak parti berkenaan terhadap isu hudud dan agama Islam ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum ini hanya sekadar lakonan.

Katanya, tindakan DAP ketika itu tidak lebih hanya untuk membelai dan menjaga penyokong DAP dalam kalangan orang Melayu.

“Idea Malaysian Malaysia sengaja disembunyikan daripada agenda perjuangan DAP ketika mereka berkempen di kawasan orang Melayu dan bumiputera,” katanya di sini.

Ketika berceramah di Kampung Keledek, Jelai baru-baru ini Ustaz Muhammad Khalil mendedah hasrat DAP yang cuba menggugurkan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

Ekoran itu Ketua Pemuda DAP Howard Lee membuat laporan polis terhadap Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia di atas kenyataan tersebut.

Nurul Amin juga berkata, rakyat sejak dahulu mengetahui kenyataan pemimpin DAP yang jelas memperlihatkan pendirian anti-Islam. – HARAKAHDAILY 24/1/2019