Adakah LKS sebenarnya rancang jadi PM?

MEMANG melucukan apabila membaca imaginasi Lim Kit Siang, menuduh Presiden PAS mahukan jawatan Perdana Menteri (PM), di sebalik cadangan PAS supaya Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menjadi PM selepas PRU13, bukannya Anwar Ibrahim. Tuduhan Kit Siang tersebut seolah-olah ingin mengalihkan perhatian dan menyembunyikan sesuatu yang ada di benak fikirannya.

Advertisement

Sekiranya Kit Siang boleh berimaginasi untuk membuat tuduhan kepada Presiden PAS seperti itu, saya juga boleh berimaginasi untuk mempersoalkan Kit Siang, adakah beliau sebenarnya merancang untuk menjadi PM dengan menolak cadangan PAS mencalonkan Ku Li sebagai PM selepas PRU13. Sekiranya diperhatikan sebab-sebab penolakan Kit Siang, imaginasi ini boleh jadi benar.

Kit Siang sudah pasti menyedari bahawa Anwar ketika itu sedang menghadapi tuduhan kes liwat. Sekiranya sabit kesalahan selepas PRU13, sudah tentu Anwar akan gugur kelayakannya sebagai ahli Parlimen sekali gus terlucut jawatan PM. Oleh yang demikian, meletakkan Anwar di posisi PM sememangnya berisiko tinggi, justeru perlu ada tokoh lain (Ku Li) di posisi itu untuk tempoh tertentu.

Meskipun risiko itu saya yakini cukup disedari oleh Kit Siang, mengapa beliau tetap mahukan Anwar sebagai PM ketika itu? Jika beliau mengakui Anwar calon yang paling sesuai untuk jawatan PM, mengapa sekarang Kit Siang tidak mencadangkan Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) sementara menunggu Dr Mahathir meletakkan jawatan pada Mei 2020.

Sekurang-kurangnya jika Anwar menjadi TPM sekarang, ia menjadi ‘pemanas badan’ untuk beliau mengambil alih dari Dr Mahathir sebagaimana succession plan yang dipersetujui oleh DAP. Sikap Kit Siang yang membiarkan Anwar sendirian pada hari ini untuk memposisikan dirinya dalam Kabinet PH, seolah-olah menunjukkan Kit Siang tidak menganggap Anwar sesuai untuk PM.

Jika benar tanggapan saya tersebut, mengapa Kit Siang tetap mahukan Anwar semasa PAS mencadangkan Ku Li? Menurut imaginasi saya, Kit Siang merancang bila Anwar disabitkan kesalahan liwat semasa memegang jawatan PM selepas PRU13, peluang untuk Kit Siang menggantikannya cerah. Beliau yakin PKR dan sebahagian pimpinan PAS ketika itu akan sokong beliau setidak-tidaknya untuk sementara.

Sebaliknya, jika cadangan PAS mencalonkan Ku Li diterima ketika itu, apa-apa yang terjadi pada Anwar selepas PRU13, jawatan PM tidak terjejas. Jika Anwar bersalah, Ku Li tetap PM. Jika Anwar lepas dari tuduhan, mungkin Ku Li boleh berundur selepas tempoh tertentu. Jadi cadangan PAS itu membantutkan sama sekali perancangan Kit Siang untuk menjadi PM.

Boleh jadi imaginasi saya tersasar, tetapi kemungkinan untuk ia menjadi realiti tetap ada. 

Oleh: DR MOHD ZUHDI MARZUKI, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) – HARAKAHDAILY 25/1/2019