DAP tiada modal, kata TG Abdul Hadi

MARANG: Dakwaan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kononnya melobi untuk menjadi Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, itu sebagai modal cerita yang direka-reka.

Advertisement

Ketika ditanya, adakah Tuan Guru Abdul Hadi pernah melobi untuk jawatan Perdana Menteri itu, katanya ramai orang telah menjawab bagi pihaknya.

Kata beliau, orang lain telah menjawab tuduhan Kit Siang itu terhadapnya yang tahu tentang segala perbualan tersebut.

“Itu orang lain sudah jawab. Orang yang tahu perbualan saya, Ustaz Idris (Naib Presiden PAS) buat kenyataan, Cikgu Pa (Dato’ Mustafa Ali) buat kenyataan. Cikgu Pa (bekas Setiausaha Agung PAS) ketika itu tahu segala perundingan.

“Dan jelas bahawa DAP ini tiada modal. Dia (Kit Siang) buat modal-modal, dicipta dan direka,” jelasnya kepada Harakahdaily, selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, bukan menjadi cita-cita perjuangannya selama ini untuk menjadi Perdana Menteri.

“Bukan perjuangan kita nak jadi Perdana Menteri. Perjuangan kita nak selamatkan negara dengan Islam,” ujarnya dengan nada semangat.

Lim Kit Siang semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands, membuat tuduhan bersifat bohong bahawa Presiden PAS itu berhasrat menjadi Perdana Menteri tetapi tidak dipersetujui oleh DAP dan Pakatan Rakyat.

Dakwaan pemimpin veteran DAP itu berkisar perbincangan Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu, mengenai jawatan Perdana Menteri yang turut dikaitkan dengan Tengku Razaliegh Hamzah. – HARAKAHDAILY 25/1/2019