Kembali asas pemerintahan taat kepada Allah

MARANG: PAS merakamkan ucapan setinggi tahniah atas pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.

Advertisement

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut bagi menggantikan Sultan Muhammad V.

Kata beliau, besar harapan PAS kepada Yang Di-Pertuan Agong yang baharu itu agar dapat melaksanakan tugas dan amanah dengan sebaik-baiknya.

Menurutnya, Tuanku Al-Sultan Abdullah ketika dilantik menjadi Sultan Pahang yang baharu itu telah mengambil semangat ucapan Khalifah Saidina Abu Bakar R.A yang mashyur.

“Ucap tahniah atas pelantikan itu, kita harap pelantikan ini mengisi kekosongan dengan perletakan jawatan sebelum ini. Kita mengharap Tuanku Agong dapat melaksanakan tugas dan amanah dengan sebaik-baiknya.

“Berpandukan semangat ucapan baginda ketika dilantik menjadi Sultan Pahang yang baharu. Tuanku Sultan membawa ucapan Saidina Abu Bakar R.A yang menghalang pengampu-pengampu dan bercakap bohong.

“Mengampu ini adalah bohong, khianat dan benar adalah satu amanah. Yang benar kata benar dan salah tetap salah. Dan taat, selagi taat kepada Allah dan Rasul.

“Itu suatu ucapan kembali kepada dasar. Dasar Islam yang diberi kepada Raja-Raja, sebagai lambang untuk memelihara agama bagi negara Malaysia.

“Kita harap Tuanku Agong dapat menyempurna dan mengembalikan asas pemerintahan yang taat kepada Allah Taala, yang beriman dan budiman,” ujarnya kepada Harakahdaily, selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Pelantikan Al-Sultan Abdullah itu bagi tempoh penggalnya lima tahun yang akan berkuatkuasa pada 31 Januari 2019 ini.

Pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara, yang berakhir kira-kira jam 12.45 tengah hari, semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mempengerusikan Mesyuarat Khas Raja-Raja itu, yang turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sekali lagi dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama. – HARAKAHDAILY 25/1/2019