Masyarakat diseru bantu luas kempen SayNo2Zina

KUALA LUMPUR: Kempen SayNo2Zina sedang digiatkan Lembaga Pembangunan dan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN) yang menegah kelakuan seks sebelum kahwin perlu diperluas dan diberi sokongan padu semua pihak.

Advertisement

Exco Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi menyeru supaya lebih banyak pihak tampil untuk usaha kepada kempen itu diperhebatkan lagi melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta khususnya sekolah dan institusi pendidikan.

“Inilah kempen pencegahan yang selaras dengan tuntutan agama. Setiap hamba Allah, ada peranan membantu usaha begini, sebab setiap kita ada ahli keluarga. Kita sayang setiap ahli keluarga kita, macam itu juga kita kena sayang orang lain.

“Jadi kempen seperti ini menghindar masyarakat dari hubungan terlarang yang menyalahi agama dan tidak normal bagi akhlak dan budaya kita. Seruan dalam kempen ini seperti “Tolak ajakan seks. Tunjuk ketegasan diri”, “Jaga diri” dan “Stay Abstinent” sangat-sangat positif.

“Ini juga ke arah membina diri dan masyarakat bermaruah, membangun tamadun negara. Apatah lagi hari ini kita dengar gejala buruk seks bebas dan sosial yang keterlaluan telah menatijahkan banyak kerosakan atas masyarakat,” ujar beliau yang juga Pengarah Dakwah Halaqat Negeri Kelantan.

Beliau turut menyelar tindakan songsang NGO tertentu yang membantah usaha tersebut di mana disifatkannya sebagai golongan parasit dalam masyarakat kerana cenderung mempromosikan perlakuan bebas luar batas.

Tempelaknya, golongan tersebut yang sering mempropagandakan isu keganasan dengan rumahtangga sebenarnya membawa agenda Liberal dan membesarkan isu tanpa menanganinya mengikut jalan betul.

“Mereka membawa daripada masalah menuju kepada masalah. Misalnya mangsa kes keganasan rumahtangga didorong kepada kebebasan termasuk dalam perlakuan seks. Ini bukan penyelesaian, tapi memporak-perandakan lagi masalah.

“Tidak dapat tidak, mesti kembali kepada penyelesaian selaras fitrah manusia. Islam menunjukkan jalan. Ikatan sah lelaki wanita disulam dengan cinta, kasih sayang dan pertanggungjawaban. Ketika sama bimbingan, nasihat, motivasi juga perlu.

“Bukannya menentang masalah, tapi dijerumuskan kepada cara yang tidak bermoral juga. Akhirnya, tidak tercapai juga maksud hubungan manusia, tiada mahabbah, mawaddah dan rahmah. Pembuangan bayi dan masalah lain akan terus berlaku juga,” ulas beliau.

Hari ini Pengarah Eksekutif Asia Pacific Resource and Research Centre for Women (Arrow), Sivananti Thanenthiran menyatakan bahawa wanita muda beragama masih tetap manusia dan mempunyai keinginan untuk meneroka seksualitinya.

Turut menyuarakan kritikan terhadap usaha LPPKN itu adalah Pengarah Program Woman Center for Change (CCC) Penang, Karen Lai yang menyifatkan kepercayaan dan agama tidak membantu menyelesaikan masalah itu. – HARAKAHDAILY 25/1/2019