PAS, Umno perlu bersatu demi agama, negara

KUALA LUMPUR: PAS melawan Umno di dalam politik agar dapat menggantikan parti itu dari tampuk pemerintahan, namun kelebihan itu diperolehi oleh PH yang membawa masalah mengatasi pernah dibuat Umno.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui, dalam pelbagai masalah yang dibuat Kerajaan PH sepanjang tempoh 8 bulan pemerintahan ini, terdapat juga kebaikan dilaksanakan.

Namun katanya, hal tersebut perlu difahami sebagaimana kisah di dalam al-Quran di mana Firaun disebalik kejahatan yang dilakukannya, tetapi telah memelihara Nabi Musa A.S sebagai antara kebaikan dan jasanya.

Pun begitu jelas beliau, disebalik kebaikan Firaun dihargai Nabi Musa, Baginda tetap menentang pemerintahannya kerana terdapat kezaliman dan melampau yang dilakukan oleh Firaun.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu, perkara paling besar dan merungsingkan sedang dilakukan PH adalah berkaitan agama apabila Islam dikhianati, sedangkan PAS memperjuangkan agama.

Manakala terangnya, PAS dapat berbaik dengan Umno pada ketika ini kerana dengan kekalahan PRU14 lalu Allah telah menyedarkan Umno terhadap perbuatannya sepanjang memerintah.

Namun orang PAS terutama generasi lama ujarnya, masih merasa marah dan dendam dengan segala pernah dilakukan Umno dahulu, tetapi perlu memahami bahawa semua itu perasaan kejiwaan.

“Marah, dendam ini apa? Ini kita panggil panas jiwa. Tuhan buat belaka sejuk panas dalam hati. Tapi adakah panas ini menggembirakan. Tidak. Bila kita pelihara panas dalam diri, ia tidak akan membahagiakan. Bahagia ini bila tenang,” terangnya ketika berceramah sempena PRK P.078 Cameron Highland di Dataran Koyan 1, kelmarin dahulu.

Katanya, Allah menyuruh manusia membuang marah itu dengan beberapa cara yang dinyatakan di dalam al-Quran antaranya diperintahkan hijrah dan perang hingga mendatangkan sejuk atau lega hati.

Jelasnya lagi, berakibat menang kalah itu menyebabkan rasa bersalah di mana ada pihak yang memohon maaf dan Allah menyuruh agar memberikan maaf sebagai tindakan lebih baik.

“Umno tak pelik kalau dia buat khianat ke orang PAS sebab dia berkuasa dan orang PAS ini kadang-kadang bila dia dizalimi, tak pelik kalau orang PAS bawa keluar kalimah-kalimah yang melampaui batas.

“Kerana apa? Kerana nak balas baliklah. Nak balas dengan kuasa tak ada, akhir sekali balas dengan mulut,” ujarnya memahamkan sifat perlakuan tersebut.

Sehubungan itu beliau menyeru untuk PAS dan Umno berbaik semula dan demi agama, bangsa dan tanah air perlu bersatu membuka lebaran baru sejarah politik Malaysia setelah melihat ‘kejutan’ dilakukan pemerintahan PH.  – HARAKAHDAILY  25/1/2019