‘Wajib sokong calon ada sifat keagamaan’

tgg

MARANG: Pesanan khas Presiden PAS kepada semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands, khususnya yang beragama Islam wajib memilih calon yang beriman dan budiman.

Advertisement

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, calon yang mewakili parti kerajaan di Pahang adalah bekas seorang pegawai polis yang baik perkhidmatannya.

Kata beliau, calon yang memegang tiket Barisan Nasional (BN) itu juga tidak pernah melakukan salah laku sepanjang perkhidmatannya.

Malah, katanya pencalonan Ramli Mohd Nor memakai simbol BN itu bukan sahaja dipersetujui oleh Umno dan MIC, termasuk PAS.

“Kita minta supaya pengundi-pengundi khususnya bagi penganut beragama Islam, wajib mereka menyokong calon yang ada sifat keagamaan.

“Calon yang memegang tiket Barisan Nasional (BN), yang kita kenal dimaklumkan bekas seorang pegawai polis. Beliau tidak pernah melakukan salah laku sepanjang perkhidmatannya sebagai pegawai Polis tersebut.

“Dia dipujuk dan bukan dia minta untuk jadi calon supaya bertanding, dan mendapat persetujuan bukan sahaja Umno, MIC tetapi juga termasuk PAS. Minta persetujuan dan kita bersetuju melantik beliau menjadi calon dan memakai simbol Barisan Nasional, kerana kita mengambil kira undi Barisan Nasional undi yang terbesar (diperolehi) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Justeru, kata Presiden PAS berharap pengundi Islam termasuk di kalangan bukan Islam agar tidak memilih calon dari DAP.

Menurutnya, pemimpin parti DAP itu sering kali menunjukkan sikap negatif terhadap Islam serta ‘oportunis’ bagi mendapatkan kuasa politik negara.

“Kita harap supaya rakyat termasuk yang bukan Islam jangan memilih calon DAP, yang menunjukkan tanda-tanda yang negatif terhadap Islam.

“Ini dia (DAP) tidak boleh sembunyikan. (Mereka) Yang merupakan ‘oportunis’ untuk mendapatkan kuasa politik semata-mata tanpa mengambilkira Perlembagaan yang menjunjung Islam adalah agama Persekutuan dan hak kebebasan beragama lain.

“Kita minta juga supaya kaum yang bukan Islam kalau mahu selamat jangan undi DAP. Undi calon Islam ini semuanya selamat. Orang Islam selamat dan orang bukan Islam pun selamat,” tegasnya.

Ketika ditanya, adakah kenyataan itu tidak bersifat perkauman kata Tuan Guru Abdul Hadi, kewujudan pelbagai kaum adalah ciptaan Allah SWT.

“Kalau pilih DAP pun perkauman juga dan kita kena sedar juga bahawa kaum ini ‘benda’ yang ada, dan Tuhan telah buat kaumnya, bahasanya, bangsanya. Tetapi (kaum itu) jangan jadikan akidah. Jadikan akidah perjuang itu fanatik dan itu tidak dibenarkan,” jelasnya.

Oleh demikian, kata Ahli Parlimen Marang, PAS meletakkan kewajipan dan tanggungjawab memilih itu penting di kalangan orang yang beriman dan budiman. – HARAKAHDAILY 25/1/2019