Calon BN ada kelebihan – TG Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU: Calon yang mewakili pembangkang atas tiket Barisan nasional (BN) dilihat mempunyai banyak kelebihan dan peratus kemenangannya itu lebih cerah.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, calon yang mewakili BN iaitu Mohd Ramli bukan aktivis Umno tetapi berketurunan Orang Asal (Asli).

“Beliau bekas pegawai polis dan calon yang dipersetujui PAS dan Umno juga sama, dan dia keturunan Orang Asli iaitu ibunya orang asal dan bapanya juga Orang Asal.

“Berpendidikan tinggi bekerja di Bukit Aman dan rekodnya baik. Kita memberi persetujuan dengan calon itu. Calon mewakili pembangkang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Seni dan Hiburan Menurut Islam di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerusi P.078 Cameron Highlands diserahkan kepada BN kerana mengambil kira majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Umno, MIC (BN) mendapat undi yang terbesar.

“Umno berjaya berunding dengan MIC tarik diri dan beri peluang kepada Umno. Dengan melihat jumlah orang Melayu dan Orang Asli, dengan jumlah yang terbesar. Ini kelebihan calon (BN) yang dikemukakan itu,” jelasnya.

Sebaliknya, kata beliau, calon yang dikemukakan oleh DAP pula mengambil calon daripada luar berketurunan India.

“Saya difahamkan begitu. Kemudian calon pula daripada kaum India sedangkan yang besarnya orang Melayu dan Orang Asal (Asli) dan orang Cina.

“Calon dahulu daripada (kaum) India, dulu MIC dan kita tukar kepada orang Melayu, Orang Asal dan DAP masih pakai calonnya yang lama juga. Dengan sebab itu, kita punya kelebihan,” tegasnya.

Selain itu, kata Ahli Parlimen Marang semasa PRU14 lalu Pakatan Harapan banyak menyenaraikan janji-janji untuk menang pilihan raya.

“Kalau malam ini menang, esok harga minyak akan turun. Malam ini menang nak hapuskan tol, banyak janji-janjinya tidak tertunai.

“Ini memberi kelebihan kepada calon yang kita (pembangkang) kemukakan dari anak tempatan, Orang Asli dan juga berpendidikan,” ujarnya.

Menurut beliau, dimaklumkan oleh bilik gerakan parti peluang kemenangan calon BN itu hingga 80 peratus.

“Mengikut maklumat yang diberikan kepada saya oleh bilik gerakan itu, harapannya 80 peratus tinggi sangat.

“Saya letak 60 peratus pun tak apa, biasanya 55 peratus atau 51 peratus pun tidak mengapa, asalkan menang walaupun satu undi,” tegasnya sambil berseloroh.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) terpaksa menurunkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen di saat akhir di Cameron Highlands kerana ‘darurat’.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki. – HARAKAHDAILY 26/1/2019