DAP tidak mewakili kaum Cina

RAMAI yang beranggapan bahawa DAP mewakili kaum Cina di dalam negara namun hakikatnya tidak. Disebabkan DAP banyak memenangi kerusi kawasan bandar dalam PRU yang lalu, rata-rata berpendapat bahawa majoriti kaum Cina berpihak kepada DAP.

Advertisement

Demografi taburan penduduk kaum Cina di dalam negara mungkin banyak di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Georgetown, Johor Bahru dan Ipoh namun ramai juga yang tinggal di kawasan luar bandar atau bandar-bandar kecil.

Jika dilihat pada PRU yang lalu, pola pengundian kaum Cina seperti juga kaum Melayu terpecah mengikut parti seperti Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS. PAS seperti juga BN dan PH mempunyai sayap untuk kaum Cina seperti Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang mempunyai keahlian yang agak ramai.

Sebagai contoh di kawasan bandar, kemungkinan hanya 50 peratus yang mengundi PH atau DAP, 30 peratus mengundi BN dan 10 peratus mengundi PAS. Pola pengundian kaum Cina juga berbeza mengikut keutamaan seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan, tempat dan negeri. Sebagai contoh pengundi kaum Cina di Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu berbeza dengan pengundi kaum Cina di Pantai Barat seperti Selangor, Perak dan Melaka.

Di samping itu juga jika dilihat pada PRU yang lalu seperti juga bangsa Melayu, kaum Cina juga terdedah dengan banyak berita yang tidak benar yang menyebabkan mereka berpaling arah atau tidak menyokong PAS mahupun BN. Sebagai contoh PAS mahu melaksanakan Hudud terhadap semua rakyat tidak kira kaum, bangsa mahupun agama sedangkan ia salah sama sekali ataupun jika PAS memerintah negara akan mundur ke belakang ataupun jika PAS memerintah PAS akan menekan semua rakyat supaya mengikut modul pemerintahan Islam ala Taliban.

Jelas ini semua taktik dan propaganda menakutkan pengundi bukan Islam dan Melayu supaya menjauhi PAS. Lihat Terengganu sebagai contoh, negeri terbaru yang dimenangi PAS di bawah Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tiada satu pun kaum termasuk Cina mahupun India ditindas malah Menteri Besar melantik Pegawai Khas dari kalangan kaum Cina dan India untuk membantu beliau dalam urusan pentadbiran membabitkan kaum bukan Melayu.

Agenda ekonomi, pendidikan, pelancongan, pertanian dan perindustrian diberi keutamaan untuk pembangunan negeri seperti pelan pembangunan Negeri Terengganu yang diterbitkan baru-baru ini. Pelaburan sama ada dalam dan luar negara seperti Foreign Direct Investment ( FDI ) dialu-alukan untuk membangunkan negeri serta agenda pembangunan negeri yang tidak meminggirkan mana-mana kaum dipraktikkan. Adakah ini memundurkan kembali ke zaman batu atau pemerintahan ala Taliban?

Sama juga dengan penghapusan PTPTN, penghapusan tol, penurunan harga petrol, penurunan kos sara hidup dan barangan keperluan, rumah mampu milik dan banyak lagi yang dijanjikan yang menyebabkan ‘Swing’ pengundi sebenarnya satu pun tidak berjaya direalisasikan sampai sekarang kerana jelas ia adalah tipu daya dan janji palsu pilihan raya. Bukan sahaja bangsa Melayu tertipu tetapi kaum Cina, India dan lain-lain kaum juga turut tertipu. Sampai bila kita mahu tertipu dan memecah belahkan masyarakat dalam negara dengan propanganda dan retorik palsu?

Oleh itu sebenarnya jelas banyak faktor yang menyebabkan pengundi kaum Cina beralih arah serta adalah tidak benar mengatakan bahawa DAP mewakili kaum Cina atau majoriti kaum Cina memihak kepada DAP. Sebagai perbandingan jelas, jumlah pengundi berdaftar pada PRU14 yang lalu ialah hampir 15 juta orang. Jumlah keseluruhan ahli parti-parti politik terbesar dalam negara seperti PAS, Umno, Bersatu, MCA, MIC, PKR, DAP, PAN, Warisan, Star dan lain-lain dianggarkan berjumlah 9 juta orang. Jumlah yang keluar mengundi lebih 12 juta orang. Bermakna lebih 3 juta orang pengundi tidak berdaftar dengan mana-mana parti yang keluar mengundi terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama.

3 juta orang inilah yang menjadi penentu PRU yang lalu sama ada pengundi baru, atas pagar atau ‘Swing Voters’ kerana jika hanya berdasarkan ahli parti nescaya PH tidak menang pada PRU yang lalu. 3 juta orang ini mewakili semua kaum, bangsa dan agama serta bukan ahli mana-mana parti. Di dalam BN masih ramai kaum Cina yang menyokong BN, begitu juga dengan PAS masih ramai kaum Cina yang menyokong PAS. Jelas sebenarnya pendapat yang mengatakan kaum Cina menyokong DAP adalah tidak benar dan jelas ramai yang tertipu lalu berpaling arah.

Contoh terakhir ialah Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, “Hybird Warfare“ telah menyebabkan Russia mengganggu pilihan raya tersebut. Hybird Warfare ialah bagaimana media sosial dan internet digunakan untuk mempengaruhi pengundi supaya sesuatu calon, mencipta naratif yang kebanyakkan palsu untuk mempengaruhi pengundi. Inilah perkara yang sama terjadi dalam PRU yang lalu walau tiada pihak luar mengganggu. Fake account, website palsu, naratif dicipta untuk mempengaruhi cara dan mood pengundi yang nyata ramai telah sedar dengan tipu daya tersebut sekarang.

Secara realistiknya untuk mengatakan kaum Cina berpihak kepada DAP adalah tidak benar. Sama seperti kaum lain, mereka sebenarnya terpedaya. Hakikatnya kita rakyat Malaysia perlu berpegang kepada prinsip jujur, benar, bertanggungjawab dan amanah serta menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara di samping berpegang teguh kepada ajaran agama dan adat budaya masing-masing. Jangan kita tertipu dan terpengaruh lagi sama ada kita dari bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semak, kaji dan tanya sama ada setiap cerita atau berita itu benar atau tidak. Masa tidak akan berputar kembali, yang lalu jadikan pengajaran.

Untuk yang mengundi di PRK Cameron Highland, tolak DAP. Tolak DAP bermakna anda mengubah nasib anda, keluarga dan kawasan anda untuk masa depan rakyat dan negara yang lebih gemilang, cemerlang dan terbilang.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 26/1/2019