Kisah bertukar bayi

PENGALAMAN saya bekerja di dewan bersalin satu ketika dahulu amat sukar untuk setiap bayi bertukar ibunya. Sebaik sahaja lahir, tali pusat bayi diikat (clamp) dan terus kita unjukkan pada si ibu supaya lihat bayi yang baru lahir itu. Kita akan minta si ibu sebut secara jelas bahawa bayi itu lelaki atau perempuan.

Advertisement

drsuhazeli1Kemudian setelah tali pusat dipotong, kita beri sekali lagi kepada ibu untuk dakap bayi dan memberi suapan susu kali pertama.

Pendek kata, terlalu amat sukar untuk bayi-bayi yang dilahirkan di dewan bersalin itu tertukar atau tersalah beri kepada ibu kandungnya yang sebenar. Mungkin kes-kes terpencil yang tidak pernah kita dengar berlaku di hospital kita, bertukar bayi akibat tersalah letak label (tag) di kaki. Setahu saya tidak pernah berlaku.

Bertambah pelik apabila terdapat satu viral tulisan yang mendakwa dua orang bayi berlainan jantina tidak dapat disahkan ibu mereka. Diberitakan peristiwa itu berlaku di Amerika Syarikat yang termaju dari sudut teknologi di atas dunia. Negeri mana di Amerika yang berlaku kes ini? Tidak disebut secara jelas.

‘Komang’ sangat hospital berkenaan hinggakan ujian DNA pun tidak boleh membuktikan anak yang sah dari sudut biologi siapa ibu atau bapa kandung mereka?

Ayat Al-Quran Surah An-Nisa: 11 yang dijadikan dalil bahawa lelaki mempunyai hak dua kali ganda lebih daripada perempuan adalah ayat yang menyentuh berkisar dengan hak pewarisan harta. Tiada ulama tafsir yang menafsirkan hak untuk mendapat nutrisi susu ibu lebih antara bayi lelaki mengatasi bayi perempuan.

Bahkan ujian yang mengatakan perbezaan susu ibu untuk bayi lelaki vs bayi perempuan adalah tidak konklusif. Keputusan kajian masih lagi tidak dapat menentukan perbezaan dan perlu kajian lanjut dari para saintis yang mengkaji.

Lagipun apa pula alasan yang hendak diberikan kepada bayi daripada ibu susuan? Malah Rasulullah SAW sendiri pun menyusu daripada ibu susuan baginda, Halimah al-Sa’diyyah. Kisah masyhur bahawa Rasulullah SAW dipelihara oleh ibu susuan sepertimana catatan dalam kitab Al-Anwar fi Sirat al-Nabi al-Mukhtar.

Halimah al Sa’diyyah menyusu dan mengasuh Rasulullah SAW selama empat tahun di sebuah perkampungan luar kota Makkah. Dalam kitab Al-Sirah an-Nabawiyyah dan Hadayiq al-Anwar dinyatakan setelah dua tahun Halimah membawa Rasulullah SAW kepada bonda baginda tetapi Halimah memohon baginda terus dipelihara olehnya dan bonda baginda setuju dengan permohonan tersebut.

Walaupun Allah menjadikan biologi wanita yang hamil dan melahirkan zuriat jantina setiap anak berbeza, itu adalah mempunyai hikmah tersendiri yang Allah jadikan atas setiap manusia.

Hatta setiap kali kehamilan, nutrisi kandungan susu ibu boleh berbeza-beza mengikut peredaran fisiologi badan siibu dan stimulasi yang dirangsang oleh anak. Tetapi berbezaan nutirisi itu bukan menjadi syarat atau dalil kepada pembahagian harta waris setelah si ibu menjadi arwah. – HARAKAHDAILY 26/1/2019