ECRL: “Saya terkejut mereka terkejut” – Amzad

KUALA LUMPUR: Ketidakselarasan ulasan antara Menteri Kabinet berhubung pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) secara tersirat menunjukkan adanya percanggahan dalam perkara itu.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, hal berlaku melibatkan eksekutif pembuat keputusan negara itu adalah sangat serius di mana ia boleh menjadi punca keyakinan pasaran merudum.

Kesan dari cara pentadbiran sedemikian ujar beliau, akan mengakibatkan kejatuhan pasaran modal di mana memberi kesan kepada banyak pihak sepertimana berlaku kepada Tabung Haji sebelum ini.

Beliau merujuk pendedahan oleh Ketua Pengarah Eksekutif Tabung Haji bahawa kehilangan RM4 bilion bukan kerana salah laku institusi tersebut tetapi oleh kejatuhan nilai saham pelaburannya dalam pasaran modal.

“Mulanya saya terkejut laporan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) tak tahu pasal penamatan kontrak CCCC (China Communications Construction Group Ltd).

“Kemudian laporan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) yang tidak tahu penamatan berkenaan. Sekarang Menteri Kewangan pula terkejut Dato’ Seri Azmin tidak tahu.

“Jika Kabinet tidak lagi boleh menunjukkan penyelarasan di bawah Perdana Menteri dalam soal sebesar ini, sangat elok Tun melakukan rombakan Kabinet.

“Rombak terus pakatan yang ada dan tubuhkan pakatan politik baru pun tak apa. Kerana Kabinet yang terlalu banyak terkejut antara satu sama lain adalah tidak sihat dan terdedah kepada ‘sakit jantung’ bila-bila masa,” bidasnya.

Menurut Ahmad Amzad, ketidakselarasan kerajaan dalam soal melibatkan urusan bernilai dan kontrak berpampasan berbilion puluhan ringggit itu sangat memberi kesan kejutan kepada pasaran. – HARAKAHDAILY 27/1/2019