Islam hilang kuasa politik, wajib kembali bersatu

KUALA LUMPUR: Orang Islam harus sedar bahawa mereka telah kehilangan kuasa dalam politik tanah air pada hari ini, demikian peringat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Menurutnya, walaupun menguasai pemerintahan negeri, tetapi suasana politik umat Islam ketika ini berada dalam keadaan yang sangat lemah di mana negara sedang diperintah oleh majoriti bukan Islam.

“Perdana Menteri yang memimpin parti Bersatu hanya (ada) 13 kerusi sahaja. Banyak (lagi) PAS, PAS (ada) 18 kerusi. PKR bukan parti Islam, bukan parti Melayu, parti campuran Melayu dan bukan Melayu.

“PAN bukan parti Melayu, bukan parti Islam, (tetapi) parti yang ditubuhkan oleh PKR dan DAP untuk melawan PAS. Umno rebah, tak jadi Kerajaan Pusat.

“Yang memerintah negara kita hari ini, 66 kerusi bukan Islam, 58 Melayu ada Islamnya mentah. Walaupun penduduk Islam 65 peratus, yang bukan Islam (hanya) 35 peratus,” ujarnya.

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada program Bicara Kerajaan Sejahtera sempena Karnival Kijal Sejahtera di Bandar Baru Kijal, Kemaman, kelmarin.

Berikutan itu katanya, parti-parti bukan Islam ini berani membuat tuntutan yang menghina Islam sehingga ke peringkat mengemukakan untuk menyamakan Islam dengan agama lain.

Kemuncaknya bidas beliau, mereka berani mengemukakan usul di Parlimen untuk menghapuskan hak keistimewaan Bumiputera secara tersembunyi menerusi usaha ratifikasi ICERD.

Dedahnya, pengisytiharan tersebut adalah agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikuasai oleh Freemason Yahudi lalu ianya telah dibawa ke Parlimen Malaysia.

“Saya berucap di Parlimen memberanikan diri memberi amaran. Sekiranya PH berani menyalahgunakan suara untuk meluluskan ICERD, menyamakan Islam dengan agama lain, menghilangkan hak Bumiputera dan Melayu, saya memberi amaran.

“PAS boleh mengerah berjuta manusia turun ke jalan raya. Saya tak sangka ucapan ini disambut oleh Ahli-ahli Parlimen Melayu termasuk Umno dengan takbir dalam Parlimen.

“Maka berlakulah himpunan yang besar di Kuala Lumpur, menyebabkan mereka berundur. Alhamdulillah, itu yang mampu kita buat,” katanya.

Menurutnya lagi, umat hari ini terpaksa memikul kesalahan yang dibuat pemerintah dulu di mana mereka sengaja membanyakkan jumlah pengundi dalam kawasan Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga ratusan ribu pengundi.

Sedangkan terangnya, kawasan Parlimen di Pantai Barat hanya mempunyai sekitar 30,000 pengundi, manakala Sabah dan Sarawak sekitar 10,000 pengundi bagi membanyakkan kerusi di situ, tetapi menghalang kerusi di negeri boleh dimenangi PAS.

Oleh itu beliau menyeru supaya orang Islam mengembalikan kekuatan dan menghentikan perkelahian hingga berpecah sesama sendiri, sebaliknya bangun atas kewajipan dan memahami awlawiyat.

“Orang bukan Islam jangan takut. Islam menentang assabiyah perkauman. Tetapi dalam masa yang sama, Islam mesti mempertahankan kepimpinan dan ketuanan Islam untuk memerintah negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/1/2019