Komited kurang pembalakan demi ekosistem

TEMPELAKAN oleh Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung pembalakan adalah sangat tidak adil, berat sebelah serta tidak memahami hakikat yang berlaku. Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil dilihat mengulas secara sewenang-wenangnya dengan penilaian yang negatif dan memihak.

Advertisement

Kenapa hanya Kelantan dibidas, sedangkan negeri lain juga menjalankan pembalakan? Apakah pembalakan yang dijalankan itu menyalahi undang-undang atau berlaku sesuatu keterlaluan? Malah, apakah pula kredibiliti PEKA untuk mempersoalkan hak Kelantan terhadap royalti minyak yang termeterai perjanjian mengenainya?

Walhal, sebagaimana ditegaskan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, Kelantan bersedia menghentikan aktiviti pembalakan jika pembayaran royalti diberikan kepada negeri itu. Ingin dinyatakan, bahawa hal tersebut sebenarnya menjadi komitmen PAS terhadap kepentingan penjagaan ekosistem alam semulajadi.

Sekiranya diberi mandat menerajui pemerintahan negeri mahupun negara, PAS akan mengurangkan atau menidakkan terus pembalakan. Walaupun pembalakan sememangnya antara sumber pendapatan, tetapi PAS akui ia memberi impak terhadap alam sekitar. Sebaliknya, kekayaan hasil galian bumi Malaysia akan dimanfaatkan semaksimumnya.

Perolehannya akan diurus tadbir secara telus dan cekap ke arah membangunkan dan memakmurkan negeri dan negara, serta mensejahterakan rakyat. Ianya bukan retorik, sebaliknya telah diteladankan PAS dalam pemerintahan di Negeri Kelantan dan Terengganu. Walaupun dengan hasil yang terhad, PAS berjaya mentadbir secara berdikari.

Tiada kes rasuah, ketirisan mahupun penyelewengan, sebaliknya beberapa kali mencatat lebihan, hasil amalan berjimat cermat dan urus tadbir yang menerima beberapa pengiktirafan. Keyakinan PAS mampu mengurus pemerintahan dengan pendapatan sedia ada atas juga adalah atas asas akidah yang menjadi pegangan tidak terpisah.

PAS mengimani, bahawa, kerajaan juga bersumberkan rezeki hanya semata-mata daripada Allah S.W.T. Tugas manusia sebagai hamba hanyalah berusaha dengan keupayaannya serta bertakwa. Allah menjanjikan manusia yang tekun berusaha pasti menerima hasilnya. Begitu juga kerana ketakwaan akan menghadirkan rezeki dari segala jalan tidak disangka manusia.

Begitulah perihalnya PAS dalam peranan selaku kerajaan, akan menggerak dan mengembleng keupayaan dan kepakaran rakyat untuk sama-sama memaju dan memakmurkan negeri dan negara. Juga menjadi hamba Allah yang bertakwa hingga melayakkan pertolongan dan segala kurniaan dijanjikan-Nya.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/1/2019