PAS Pahang hargai amilin petugas PRK CH

SEGALA puji bagi Allah, Rabb Yang Memelihara Sekelian Alam, Selawat dan salam atas junjungan Nabi S.A.W, juga ke atas keluarganya, para Sahabatnya serta mereka yang beriman dan beramal soleh di sepanjang zaman.

Advertisement

PRK Cameron Highland telah berlalu dengan begitu sengit, menyaksikan kemenangan calon BN menumpaskan calon PH. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas-petugas PAS yang bertungkus lumus bekerja sepanjang tempoh berkempen.

Ketaatan kepada arahan pucuk pimpinan berasaskan kepada perjuangan untuk memilih calon yang lebih menepati aspirasi Islam dan semangat solidariti untuk menguatkan pembangkang di dalam Dewan Rakyat ahli PAS turut ke medan PRK berkempen bagi membantu calon BN Ramli Mohd Nor sehingga diumumkan kemenangannya semalam.

PRK ini juga mencatatkan sejarah baharu dalam dunia politik Malaysia sekali gus juga menjadi pengalaman berharga bagi ahli PAS bila bekerja untuk membantu calon BN yang telah sekian lama bertembung di medan politik, namun apabila kepentingan Islam diletakkan di hadapan, ahli dan petugas PAS sanggup menghadapi segala bentuk kesukaran dan cabaran.

Saya mengharapkan agar, kerjasama yang diikat demi kebaikan Islam dan Negara ini dapat diikat dengan lebih erat tidak mengira apa jua parti politik, bukan sahaja BN malahan parti-parti lain termasuk PH, agar Islam dan Negara bertuah ini dapat terpelihara dengan sebaik-baiknya di samping tidak mendiskriminasikan bangsa dan penganut agama lain yang juga mempunyai hak di Negara bertuah ini.

Saya juga melihat bukan sahaja pengundi Melayu Islam sahaja malahan juga bangsa lain seperti Orang Asal, Cina dan India juga membantu jentera dan memberikan undi kepada calon BN, kerana itu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mestilah dijadikan sebagai syiar dan amalan kerana ini adalah pendekatan yang akan mengikat rasa persaudaraan, mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua petugas PAS, semoga Allah S.W.T balasi susah, payah, jerih dan segala bentuk kesukaran yang dihadapi dengan kebaikan di dunia dan Akhirat.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pengarah Operasi PRK Cameron Highland PAS Pahang – HARAKAHDAILY 27/1/2019