Rakyat ajar PH di CH, apa selepas ini?

KEMENANGAN BN di Cameron Highland (CH) mengalahkan PH, tiba-tiba disambut gembira oleh kebanyakan rakyat. Tanpa mengira parti mana, asalkan bukan daripada PH, mereka paling kurang tersenyum menyambut kekalahan PH. Penambahan majoriti kepada BN memberikan suatu anjakan paradigma baharu kepada landskap politik tanah air. Ia akan dilihat dengan pandangan yang sangat berbeza oleh pemerhati politik Malaysia. Suasana menyambut kemenangan ini, amat berlainan sekali kerana BN yang dibenci sedikit masa dahulu, kini secara tiba-tiba seperti menjadi wira, memberi tumbukan kekalahan kepada PH.

Advertisement

Penganalisa mengeluarkan beberapa teori berkenaan kemenangan BN kali ini. Akhbar seperti Utusan Malaysia, tanpa segan silu mengeluarkan artikel seperti merendah-rendahkan kemampuan PH. Banyak lagi pandangan-pandangan yang dikongsi dalam pelbagai sudut. Walaupun begitu, suatu kenyataan yang tidak boleh ditolak oleh semua ialah, kemenangan BN kali ini adalah hasil usaha kerjasama PAS yang secara terang-terangan menyeru kepada ahli-ahlinya di CH untuk mengundi calon Melayu-Islam yang pastinya membawa mudharat yang lebih sedikit kepada Islam berbanding bukan Islam yang menentang Islam. Islam sentiasa diletakkan sebagai tanda asas dan alasan oleh pimpinan PAS bagi menyokong seseorang calon itu.

Secara keseluruhannya, pencapaian BN meningkat hampir 3000 undi, dipersetujui bahawa ianya bantuan daripada undi ahli-ahli PAS. Arahan pimpinan tertinggi PAS untuk menolak PH dengan memberikan undi kepada BN, dipatuhi. Ia sepatutnya berlaku ketika PRU14 lalu, dengan PAS bakal menjadi ‘king maker’. Tetapi memandangkan kempen fitnah menggila daripada PH, PAS terpaksa memilih jalan menjauhkan BN kerana PAS juga akan berkemungkinan akan kalah di Terengganu, malah Kelantan juga mungkin akan tergadai jika bersama BN. PH juga maklum akibatnya jika PAS dan BN boleh berkerjasama. Maka ianya perlumbaan siapa cepat mematikan gerakan lawan.
Sebagaimana langkah Khalid al-Walid dalam peperangan Mu’tah, beliau mengambil alih kepimpinan tentera setelah tiga jeneral pasukan Islam syahid, memilih langkah berundur bagi mengelakkan lebih ramai tentera Islam syahid yang mana tidak sedikit daripada mereka dari kalangan hafiz. Maka memilih berundur, sikap yang dipuji Rasulullah di sebalik ejekan oleh orang ramai ketika sampai di Madinah, kerana Khalid dianggap sebagai pengecut. Ini adalah suatu strategi politik yang difikirkan oleh pimpinan PAS ketika PRU14 dahulu. Walaupun sudah melihat tanda akan kejahatan dan kerosakan PH yang lebih besar, namun PAS terpaksa bersabar untuk kembali memperbaiki posisi kerana kerosakan BN juga terlalu teruk.

Sebelum PRU14, jika menyebut bergabung atau berkerjasama dengan BN, jangan kata manusia, ayam, itik, lembu, kambing juga akan mengejek. Memperlihatkan betapa hinanya BN. Kini setelah berbagai perangai hodoh PH yang terpamer sama ada secara sengaja atau tidak, BN tidak lagi dilihat sebagai objek najis yang tidak boleh didekati ataupun diambil manfaat daripadanya. Tiada bezanya dengan tindakan BN yang PH kutuk sebelum ini, malah PH lebih memualkan. PH juga menggunakan harta kerajaan untuk berkempen. Menggunakan wang untuk membayar apa sahaja yang mereka gelar, duit minyak, duit makan kepada pengundi. Cuma bezanya, BN sanggup berkerjasama dengan PAS untuk Islam, kerana itu BN lebih diyakini buat sementara ini.

PH mengugut Orang Asli. Sayang kerana PH yang mempunyai begitu ramai bekas pimpinan barisan pembangkang dahulu, tidak belajar daripada kisah Orang Asli ini. Mereka hanya fikir apabila mereka mengugut, Orang Asli akan patuh. Oh tidak, mereka tidak sebegitu naif dengan ugutan. Sepatutnya sejarah lama Orang Asli ketika di tahun 1990 dahulu diambil iktibar. Ketika itu Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang parti utamanya ialah PAS dan Semangat 46 bergerak bersama. Di Gua Musang, kubu utuh Presiden S46, Tengku Razaleigh Hamzah, BN cuba mempengaruhi Orang Asli dengan menaburkan duit. Malang bagi BN kerana wang RM50 yang mereka hulurkan, diberi baki oleh Orang Asli sebanyak RM4 bagi menyatakan mereka hanya terima 46 sahaja. Nah kau!

Kerajaan Pusat juga mempamerkan projek tajaannya ketika berkempen, mengamuk, mengugut lawan setelah sikap hina mereka menggunakan harta kerajaan dibongkar, membuat kenyataan merapu seperti mahu memberikan kerakyatan kepada Orang Asli, secara tiba-tiba terdapat banyak program kerajaan di sekitar CH ketika masa berkempen, menyaman Kerajaan Kelantan bagi pihak Orang Asli, dan akhirnya apabila terdesak, mereka mula menyerang peribadi lawan. Lihat DS Anwar, Mat Sabu dan Lim Kit Siang, bertukar-tukar kata nista menghina lawan, di ketika barisan Menteri gagal memperlihatkan agenda kerajaan. Tidak tahan ‘troll’ oleh DS Najib, mereka cuba kaitkan kembali dengan masalah 1MDB, senjata lama mereka, yang sehingga kini, tidak lagi dilihat sebagai isu. Lebih teruk, Presiden PAS turut diserang dengan tuduhan sebagai gila jawatan PM.
Lim Kit Siang mungkin secara tidak sedar ataupun tidak dimaklumkan oleh pasukannya, yang beliau sekarang sudah menyamai atau melebihi watak DS Rosmah Mansor sebelum PRU14 dahulu. Kehadiran beliau dibenci oleh ramai orang. Dua video yang memaparkan kejelekan rakyat dengan kehadiran beliau di CH, cukup menggambarkan kegagalan beliau untuk keluar dari kepompong pemimpin Cauvinis. Rosmah yang dibenci ramai dahulu pun tidak pernah dihambat keluar. Amat memalukan kerana beliau hampir dibiarkan keseorangan oleh teman-teman PH yang lain, sedang beliau adalah daripada parti memerintah Kerajaan Pusat.

Kehadiran Tun seperti acuh tak acuh, tidak membantu membersihkan DAP daripada kotoran rasis ini. Sangat dipercayai, CH ini adalah ujian oleh Tun bagi melihat sejauh mana percaturan agama dan bangsa diterima rakyat. Saya sudah menulis berkenaan betapa lakunya perniagaan isu agama dan bangsa dalam kempen pilihan raya di Malaysia. Percayalah, ianya sangat menguntungkan bagi sesiapa yang pandai mengendalikannya. Maka Tun dengan bergayanya telah mengeluarkan dirinya daripada daki-daki rasis ini dengan secara lantang menyekat kemasukan ahli sukan Israel ke Malaysia. Nama Tun harum bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di persada dunia, Malaysia dipuji kerana Tun tetapi Lim Kit Siang dicaci kerana perkauman dan agama di CH.

Kenapa saya mengatakan bahawa Tun menggunakan isu Israel ini untuk melarikan diri daripada DAP? Kerana pada sekitar tahun 1997 dahulu, orang yang sama, Perdana Menteri ke-4 telah membenarkan pasukan kriket Israel bertanding di Malaysia. Tidak percaya? Tanyalah Mahfuz Omar dan Sallehuddin Ayub. Kedua-duanya ketika itu Ketua dan Timbalan Dewan Pemuda PAS Pusat, dipenjara sebab menentang Perdana Menteri.

Satu-satunya parti yang dilihat masih relevan dengan Melayu-Islam di dalam PH ialah Bersatu. Walaupun dilihat Umno, tetapi bagi Melayu-Islam, mereka lebih baik daripada PKR yang seperti sudah kehilangan kejantanan mereka kerana menjadi budak suruhan kepada DAP. Penyatuan BN-PAS atas nama apa sekalipun, akan memberi kesan yang sangat besar kepada PH. Lihat sahaja ketakutan yang dizahirkan oleh pimpinan DAP yang bersungguh-sungguh mahu menyekat penyatuan 70 peratus Melayu-Islam di negara ini, mereka sangat faham keadaan selepas itu jika ianya berlaku. DAP mungkin memerlukan 100 tahun lagi bagi mendapatkan kembali situasi begini. Baca keputusan mengikut pecahan undi kaum bagi PRK CH. Saya katakan ia sebagai kekalahan DAP disebabkan penyatuan Melayu-Islam, anda pasti akan bersetuju.

MCA sekarang ini juga terkedu melihat keputusan ini. Kenapa agaknya MCA masih tidak mahu menyeberang ke PH setelah begitu marah mereka dengan Umno yang mahu berkerjasama dengan PAS? Peranan MCA ialah sebagai pengimbang kepada DAP. MCA menjadi watak yang agak baik, penyabar dan sederhana, manakala DAP adalah watak bengis, rakus dan agresif. Jadi kedua saudara ini berpisah atas dasar ‘jangan hilang semua’ untuk kaum Cina. Lakonan mereka sudah kita maklum semenjak dahulu. Jika MCA ke seberang bersama DAP, keseimbangan kaum Cina akan hilang, menjadi berat sebelah. Ketika hilang imbangan itu, mereka amat senang dilingkupkan. Jadi terpaksa rela, MCA kekal berbaik dengan Umno, jika Umno kembali berkuasa dengan bantuan PAS, MCA akan menjilat kembali ludah kebencian mereka kepada PAS, demi kaum Cina. Nampak?

Suatu perkara menarik yang saya ada mendapat maklumat berkenaan Tun, beliau secara terang pernah mengaku di hadapan seorang pimpinan PAS bahawa beliau juga mahu ke syurga. Saya menarik nafas lega apabila mendengar cerita ini. Bukan kerana PAS sebagai pemberi syafaat seseorang ke syurga, bukan, bukan begitu. Tetapi pengakuan beliau itu boleh diambil dari satu sisi positif yang betapa jalan bagi kesemua parti Melayu-Islam bersatu menguatkan satu sama lain bagi memertabatkan Islam terbuka luas. Ketika ini, Islam diserang dengan begitu dahsyat dari seluruh sudut. Bayangkan jika benar-benar BN-Bersatu-PAS bergabung, apa yang anda lihat?

Almarhum Dato’ Fadzil Noor pernah mendoakan agar Tun diberikan umur yang panjang untuk diperlihatkan kerosakan yang beliau lakukan. Apa salahnya jika kita menambah doa itu dengan harapan setelah Tun melihat kerosakan itu, beliau bertaubat dan membantu menjulang Islam. Kita tunggu dan lihat bagaimana Semenyih. Jika kerjasama Umno-PAS sekali lagi berjaya, maka tidak mustahil seruan Presiden Perkasa untuk Parlimen dibubarkan, mungkin menjadi kenyataan.

MOHD NASIR ABDULLAH
28 Januari 2019
Al-Khor, Qatar – HARAKAHDAILY 28/1/2019