PRK C. Highland yang menghiburkan

PENDAHULUAN

Advertisement

PRK Cameron Highland bolehlah dinobatkan sebagai paling menarik setakat ini dalam era Malaysia Baharu.

Ia bukan sekadar menyaksikan calon PH, M. Managoran tumbang kepada calon BN, Ramli Mohd Nor yang diisytiharkan menang dengan majoriti besar berjumlah 3,238 undi. Tetapi ia lebih kepada menggambarkan perubahan cara berfikir para pengundi selepas lebih 7 bulan bergembira sakan dengan kemenangan PH dan kejatuhan DS Najib dan BN dalam PRU ke-14 yang lalu.

PRK ini cukup berwarna warni. Ia bukan sekadar mengenai calon-calon yang bertanding atau parti-parti yang mereka wakili.

DS Najib kembali sebagai selebriti baru media sosial

Populariti Datuk Seri Najib meningkat mendadak di kalangan netizen dalam PRK ini. Ia berlaku melalui siri jawapan-jawapan sinis beliau terhadap lawan-lawan beliau daripada Harapan di media sosial, terutamanya mengenai cara kebudak-budakan PH menguruskan negara. Jawapan beliau amat menggelikan hati, tetapi amat logik juga.

Isu penyelewengan 1MDB yang terus digunakan oleh jentera PH, nampaknya tidak lagi berjaya membangkitkan amarah rakyat kepada DS Najib. Apatah lagi setelah lebih 7 bulan, DS Najib masih gagal disabitkan dengan sebarang kes berkaitan 1MDB. Walaupun dalam keadaan rumahnya telah digeledah, Peguam Negara adalah Tommy Thomas dan Menteri Kewangan pula tak henti-henti dalam mood ‘membongkar’ dan terus ‘membongkar’ penemuan baharu kes penyelewengan 1MDB.

Bahkan satu dokumentari khas mengenai kleptokrasi berkaitan 1MDB dan DS Najib turut ditayangkan dalam AstroFirst.

Namun PRK ini dilihat berjaya menampakkan sisi baik DS Najib.

Jangkaan rakyat daripada Kerajaan PH

Rakyat mahu melihat ekonomi negara semakin teguh setelah kebocoran 1MDB berjaya dibendung dengan kemenangan PH pada 9 Mei 2018.

Namun setelah 7 bulan berlalu, Kerajaan PH disaksikan sendiri oleh rakyat bahawa mereka sangat tidak cekap dalam menguruskan ekonomi. Bahkan ada yang menyifatkan PH sangat tidak pandai pun hal-hal berkaitan pengurusan ekonomi negara. Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi pun saling berantakan sesama sendiri. TPM pun tak boleh berkata apa-apa.

Harapan rakyat untuk melihat dasar ekonomi mapan pasca kejatuhan Kerajaan BN menjadi kabur sekabur-kaburnya. Bursa Malaysia dan nilai RM terus menyusut dan hilang kemampuan bersaing pada era pemerintahan PH ini. Hubungan dagang dengan China terus tegang dan tidak menentu. Industri sawit yang menyelamatkan negara ketika krisis ekonomi 1997, semakin diselubungi tanda tanya.

Lebih menarik, ada Menteri meminta penoreh getah agar jangan malas menoreh di musim hujan.

Menteri Kewangan dan 1MDB

Nampaknya dasar ekonomi Menteri Kewangan hanyalah berkisar kepada kejayaan beliau mendedahkan skandal 1MDB, menjatuhkan DS Najib dan menumbangkan BN. Tidak lebih daripada itu. Soal pembangunan ekonomi rakyat, bukanlah agenda besar Menteri Kewangan era Malaysia Baharu.

Kita pernah dihidangkan dengan satu sidang media oleh Lim Guan Eng, di mana beliau selaku Menteri Kewangan Malaysia telah memberikan angka yang sangat silap ekoran beliau tersilap membaca titik perpuluhan!

Terlalu bersemangat dengan ‘fakta’ untuk menjatuhkan air muka lawannya, sehingga tersilap membaca titik perpuluhan dengan nilai beza dalam berjuta-juta Ringgit.

PH kehilangan arah memulihkan ekonomi negara

Ya. Ekonomi rakyat dan ekonomi negara tidak menjadi agenda Kerajaan PH. Tiada pelan konkrit untuk memulihkan ekonomi negara pasca 1MDB.

Kerajaan PH sebenarnya terlalu sibuk berpolitiking sesama komponen mereka. Terlalu sibuk membahagi ghanimah tinggalan Kerajaan BN terdahulu. Terlalu galak menguatkan kroni dan terlalu rancak cantas mencantas sesama sendiri.

Tidak percaya sesama komponen parti dalam PH telah melebar di kalangan mereka sehingga ke tahap tidak percaya kepada sesama kepimpinan daripada parti yang sama. Mereka berakar ganas sesama sendiri.

Ekonomi negara hanya bertiup mengikut arah orang lain, tiada usaha konkrit pihak PH untuk menentukan arahnya sendiri.

Rakyat sudah merasa terawang-awang keseorangan. Slogan ‘kembali bina negara’ tajaan Rafizi, telah bertukar kepada slogan ‘tidak menemui apa-apa untuk dibina’.

Lim Kit Siang ‘In action’

PRK Cameron Highland juga adalah mengenai Uncle Lim Kit Siang, penasihat DAP dan juga bapa kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Uncle Lim tidak boleh lagi menghentam Kerajaan, kerana partinya sudah menjadi kerajaan. Anak beliau pun telah menjadi Menteri Kewangan.

Untuk beliau memuji kerajaan, tiada apa yang boleh dipuji sangat. Akhirnya beliau meneruskan aktiviti beliau sebelum partinya menjadi kerajaan iaitu menghentam dan menyalahkan BN dan PAS. Akhirnya, DS Najib dan DSTG Haji Abdul Hadi Awang menjadi sasaran beliau dalam PRK Cameron Highland!

Alahai Uncle Lim, penasihat DAP dan bapa kepada YB Menteri Kewangan.

PAS seperti turut bertanding

PRK Cameron Highland juga adalah mengenai PAS terus disalahkan atas kekalahan PH.

Setelah BN menang, ditimbulkan tentang ‘Bahaya UG’. Bahaya PAS bantu BN. Bahaya sokong PAS kerana PAS sokong 1MDB. Bahaya, PAS sudah hendak jadi sama jahat dengan BN. Presiden PAS ‘sebenarnya’ pernah memujuk Uncle Lim untuk mencalonkan dirinya sebagai PM… Dan banyak lagi.

PAS diasak seolah-olah tidak wujud bahaya DAP dan bahaya dasar Rahmatan Lil Kaafirin dalam Malaysia Baharu. Seolah-olah tiada bahaya menyokong pihak yang terus menabur janji walaupun setelah terang-terang mengaku tidak akan dapat melunaskan janji-janji terdahulu.

Lebih parah pada kali ini, PH berjanji hendak berikan ‘kewarganegaraan penuh’ kepada Orang Asli.

Alahai…

Penutup

Tentulah yang paling menjolok mata dalam PRK ini ialah lagak Timbalan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli daripada DAP, YBM Tengku Zulpuri Shah dan isteri.

Mereka bersama sekumpulan jentera kempen PH dilihat berang terhadap sekumpulan orang ramai yang ‘membongkar’ salutan bendera Malaysia pada pikup milik Jabatan Hutan Pahang yang dinaiki oleh Tengku Zulpuri. Ternyata di sebalik bendera Malaysia itu, tersembunyi di belakangnya bendera PH. Dan bendera PH itu menutup identiti sebenar aset Jabatan Perhutanan Pahang.

Pikup itu digunakan oleh beliau untuk tujuan berkempen memenangkan calon PH dalam PRK Cameron Highland. Timbalan Menteri era Malaysia Baharu.

Ya. PRK Cameron Highland sememangnya cukup berwarna warni.

ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang – HARAKAHDAILY 29/1/2019