Agenda DAP dibawa dalam YADIM?

KUALA LUMPUR: Pelantikan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP sebagai pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) menimbulkan pelbagai persoalan oleh rakyat.

Advertisement

“Apakah agenda Menteri Agama yang telah mencadangkan beliau yang bukan sahaja seorang ahli DAP, tetapi seorang Adun DAP?

aminudin isma“Apakah beliau akan membawa agenda DAP di mana diketahui umum ingin menuntut kesamarataan agama?” kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tanpa menafikan latar belakang Adun itu dalam bidang agama, tetapi sudah pasti aspirasi partinya DAP menjadi agenda utamanya.

“Mana mungkin beliau boleh membelakangkan parti yang mencalonkan dan memenangkan beliau untuk menjadi seorang wakil rakyat?

“Kenapa perlu dimasukkan wakil dari parti ini ke dalam institusi Islam?” tanya beliau lagi.

Beliau turut mempersoalkan apakah mereka ingin campur tangan dalam hal ehwal umat Islam dan tiada calon lain yang lebih sesuai.

Tambahnya, ternyata jelas bahawa prinsip ‘politik tidak boleh campurtangan dalam isu agama’ sudah tidak menjadi pegangan pemerintah.

Katanya, apa jadi dengan Islam jika dibawa pemikiran-pemikiran dan kepentingan-kepentingan politik ke dalam institusi Islam.

Justeru, ujarnya rakyat meminta pihak kerajaan supaya meneliti dan mempertimbangkan semula perlantikan itu. – HARAKAHDAILY 30/1/2019