Dunia digelapkan derita Muslim Uyghur China

KUALA LUMPUR: Warga dunia hakikatnya sedang dihalang dari mendapat maklumat sebenar penindasan dan kezaliman yang dilakukan pemerintah negara China ke atas Muslim Uyghur dan etnik Turk khususnya di Wilayah Xinjiang.

Advertisement

Sehubungan itu, Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) sedang meneroka usaha untuk melaksanakan misi ke arah menangani permasalahan tersebut yang dikatakan telah berlaku sejak awal abad lalu.

Ahli Jawatankuasa PASRelief, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, tindakan terawal setakat ini adalah membina hubungan dan rangkaian bersama pihak yang memperjuangkan isu tersebut.

Menurutnya, sebagaimana diceritakan sendiri antara wakil Muslim Uyghur yang ditemuinya, terdapat jutaan yang sedang dipenjarakan di kem-kem tahanan negara itu dengan menghadapi pelbagai penyeksaan.

Kata beliau, wakil tersebut memaklumkan, di sel-sel yang penuh sesak itu tahanan Muslim Uyghur dipaksa untuk mencela Islam dan menganut Ateisme serta taat setia kepada negara China dan Presiden, Xi Jinping.

“Tahanan diperlakukan sebagaimana tindakan-tindakan penghapusan etnik. Ketaatan kepada Islam menjadi sebab ditahan dan diseksa hingga ada yang menemui kematian, bahkan ramai yang ‘hilang’.

“Paling tragis, jenazah mereka tidak diserahkan kepada waris keluarga, tetapi dibakar yang dilihat sebagai usaha menghapuskan bukti,” ujarnya menyampaikan semula cerita tersebut.

Tambahnya lagi, anak-anak Muslim Uyghur pula dimasukkan ke sekolah dengan doktrin khas membenci Islam dan sentiasa mengaitkan Islam dengan kejahatan serta pelbagai perkara buruk lain.

Terangnya, hampir setiap pergerakan di Wilayah dikenali sebagai Turkistan Timur itu dikawal perhati dengan ketat oleh jutaan pegawai pemerintah dari etnik Han, hingga ada Muslim yang menukar nama.

Difahamkan kepada Ustaz Tarmizi, kezaliman tersebut kerana Wilayah itu juga kaya dengan mineral dan sumber alam sebagaimana juga perkara sama terdapat di bumi Arakan (Rakhine), Myanmar. – HARAKAHDAILY 30/1/2019