Integriti keutamaan PAS sebagai kerajaan

TELUS, Amanah dan Berwibawa menjadi dasar dan amalan PAS dalam memimpin sesebuah negeri mahupun organisasi PAS sendiri. Bersesuaian dengan PAS yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar parti, Islam sememangnya menekankan betapa integriti adalah mustahak sebagai dasar dan amalan dalam menjadi sebuah Kerajaan sama ada negeri mahupun Persekutuan.

Advertisement

Rekod menunjukkan betapa PAS sememangnya menjadikan integriti sebagai amalan dan dasar dalam memerintah. Kelantan sebagai contoh yang paling baik kerana sepanjang pemerintahan PAS selama 28 tahun, Kerajaan Kelantan bersih daripada sebarang salah laku yang boleh mencacatkan integriti PAS sebagai tonggak Kerajaan Kelantan.

Bermula dari zaman Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan hinggalah sekarang yang diterajui oleh Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad bin Yaakob, Kerajaan Negeri Kelantan bebas dari sebarang salah laku serta menjadikan telus, amanah dan berwibawa sebagai dasar dan amalan dalam pemerintahan.

Terengganu di bawah pemerintahan PAS sekarang yang diterajui YAB Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar sebagai Menteri Besar sememangnya mempraktikkan amalan serta dasar yang sama dalam pemerintahannya. Islam sebagai dasar serta tonggak pemerintahan beliau juga akan menghasilkan natijah yang sama seperti Kerajaan Kelantan, bebas dari sebarang salah laku yang boleh mencacatkan integriti Kerajaan Terengganu.

PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang hari ini menerima jemputan Kerajaan Persekutuan menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional. Kehadiran dan komitmen beliau untuk menjunjung tinggi integriti dan ketelusan jelas menunjukkan bahawa PAS sememangnya berpegang dengan dasar dan amalan tersebut malah sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak untuk Malaysia bebas dari rasuah dan gejala tidak bermoral.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 30/1/2019