Jejak Cameron Highlands menghala ke Semenyih

KEBIJAKAN politik mungkin boleh digambarkan sesuatu ungkapan ringkas boleh menjadi viral dalam sekelip mata. Kita masih ingat Sultan Kelantan pernah menyebut ‘Sila duduk jangan lari’. Ia menjadi sebutan ramai.

Advertisement

Malah menjadi tajuk drama. Kemudian muncul pula surat membahasakan ‘Dinda Kanda’. Istilah dibahasakan dalam warkah dari Cardoba.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof membahasakan diri kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Lama juga ia geger di media sosial.

Kemudian muncul pula istilah ‘Malu Apa Bossku’. Poster terpampang gambar Dato’ Seri Najib Tun Razak menaiki motosikal pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Hihglands.

Ia juga menjadi viral sehingga menjulang seketika nama bekas Perdana Menteri itu.

Dan sehari dua ini ada lagi istilah yang cuba menarik perhatian. Ibarat kerbau cuba menyelamatkan buaya tersepit, sindiran Dato’ Husam Musa terhadap PAS.

Pemimpin Parti Amanah Negara terbabit menyifatkan kerjasama PAS dan Umno hanyalah sia-sia. Katanya tidak mempunyai asas yang jelas.

Malangnya istilah terbabit tidak memikat anak muda. Tiada yang sudi hendak viralkan. Sedangkan pemimpin terbabit pernah menjadi ikon anak muda.

Biar pun dianggap sebagai sia-sia, namun kelibat kerjasama PAS dan Umno membuatkan impian PH ranap di Cameron Highlands.

Bagi peminat bola sepak kedudukan lima PRK pasca PRU 14 sudah menjadi 4-1, dan bukan 5-0. Setidak-tidaknya ego tinggi PH selepas 9 Mei reda seketika.

Kerjasama pembangkang berjaya melonjak majoriti BN kepada 3,238 undi. Sedangkan pada 9 Mei lepas BN hanya menang kelebihan 597 undi.

Apakah waras kejayaan itu boleh digambar sia-sia. Mungkin kerbau dan buaya berganding memijak roket berwarga oreng.

Seperti kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad hukum politik boleh berubah mengikut keadaan. Hukum harus kadang-kadang boleh dan ada ketikanya tidak digalak.

Namun bagi politikus tradisional hukum politik statik tidak berubah.

Wacana baharu

Inilah wacana baharu yang memperlihatkan wajah politik Islam sentiasa segar.

Sebelum PRU 14 pelbagai lebel dihalakan terhadap PAS kerana agak lunak dengan Umno. Bagi mereka hubungan Umno dan PAS adalah haram di sisi politik.

Situasi seperti itu juga pernah muncul ketika PAS berganding erat dengan DAP membela Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas disingkir Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Bermula dengan NGO yang dinamakan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak). Bermula dari situ akhirnya Barisan Alternatif (BA) muncul bagi menghadapi PRU 1999.

Gabungan PAS, DAP, PRM dan Parti Keadilan Nasional membuahkan hasil apabila BN tumbang di Terengganu dan PAS kekal di Kelantan.

Ketika itu pemimpin Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. DAP menjadi alat PAS. Namun akhirnya DAP keluar BA apabila PAS mengutarakan Dokumen Negara Islam.

Mungkin bagi Umno ketika itu boleh menganggap PAS umpama kerbau cuba menyelamatkan buaya tersepit.

Dan hari ini teori politik menjadi terbalik 180 darjah. Gandingan PAS dan Umno pula menjadi kerisauan pemimpin PH.

Kebimbangan lebih berganda sekiranya momentum tersebut diheret sehingga ke Semenyih di Selangor.

PRK siri ke-6 akan berlangsung pada 2 Mac hadapan. Kemenangan selesa PH dengan majoriti 8,964 undi pada PRU ke-14 boleh berubah dengan gandingan mantap pembangkang.

Sejarah lama boleh berulang. PRK Teluk Intan pada 2014 boleh menjadi pendoman. Kemenangan calon DAP Seah Leong Peng pada 2013 dengan majoriti 7,313 undi, pada adat kata sukar untuk digugat.

Namun pada PRK berikutan kematian Seah, BN melalui Dato’ Mah Siew Keong merampas semula kerusi degan majoriti 238 undi. Beliau mengatasi Dyana Sofya Mohd Daud.

Dun Semenyih mempunyai pengundi Melayu sebanyak 67 peratus, Cina 17 peratus dan India 14 peratus.

Sedangkan PRK Cameron Highlands, di Dun Tanah Rata majoriti pengundi Cina dan India.

Sejak ICERD tercetus perpaduan orang Melayu kembali bertaut. Hala tuju politik sekarang memperlihatkan penyegaran semula ketuanan Melayu dan Islam.

Gugatan terhadap Islam dan Melayu juga merisaukan orang Melayu di Semenyih. Mereka tidak menolak pemimpin Melayu dalam PH sebaliknya bimbang peranan DAP seperti berguru kepalang ajar. – HARAKAHDAILY 30/1/2019