Mesej daripada PRK Cameron Highlands

KEKALAHAN calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands seharusnya membuka mata parti pemerintah agar tidak merasa selesa dan sombong dengan kedudukannya. Melihat kepada ulasan pimpinan utama PH, pasca PRK Cameron Highlands, kelihatan mereka masih dalam sindrom penafian dan berselimut keangkuhan.

Advertisement

riduan mnorPRK ini adalah signal awal bahawa PAS dengan kerjasama strategik Umno-BN serta jaringan sivil negara ini adalah kerjasama ampuh yang pasti mampu menumbangkan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, dan menjadi petanda bahawa pemimpin PH selepas ini tidak mampu tidur malam dengan lena.

PH sudah tidak ada tempat untuk mereka berada di dalam zon selesa melainkan terus bekerja bagi menunaikan janji yang mereka taburi menjelang PRU14 dahulu. Jarang dalam mana-mana PRK, pembangkang boleh menang bahkan dengan undi selesa seperti mana dalam PRK Cameron Highlands ini.

Kemenangan calon BN, bekas pesara polis, Ramli Mohd Nor dengan jumlah undi sebanyak 12,038 atau 3,238 majoriti cukup menjadi pemangkin bagi merealisasikan kerjasama politik baru ini. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi BN dalam PRK tersebut, dan mungkinkah ianya adalah suara hati rakyat terbanyak di negara ini? Apakah ia suatu permulaan yang baik, dan sinar mula memancar setelah negara disurami dengan kemenangan PH dalam PRU14 tempoh hari? Pelbagai telahan boleh diberi, dan pelajaran yang boleh dikutip dari PRK Cameron Highlands ini.

Pertama, dengan perolehan undi Melayu sebanyak 72 peratus, menunjukkan PH masih gagal dalam menguasai hati dan pemikiran orang Melayu. BN dibantu oleh PAS adalah parti terbesar orang Melayu dan fakta ini usah dicabar lagi. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diketuai oleh tokoh sehebat Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri gagal meraih undi yang banyak untuk orang Melayu. Parti PAN , yang kononnya disebut-sebut sebagai pengganti Parti Islam Se Malaysia (PAS) juga terkial-kial dalam mencari rentak mereka dalam PH. Sebagai adik bongsu atau adik paling kecil, tidak banyak jasa, sumbangan dan impak yang mereka boleh diberikan dalam memenangi PRK tersebut. Pengundi Cameron Highlands tidak mengenali sosok seperti Mohamad Sabu, Datuk Salahuddin Ayub, Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad, Khalid Samad, Hanipa Maidin dan lain-lain walaupun mereka telah menjadi menteri. Orang Melayu bersepakat bahawa keyakinan dan kepercayaan mereka hanyalah kepada BN dan PAS.

Ia adalah suatu mesej bahawa PAS bersama dengan BN masih memenangi hati orang Melayu Islam di negara ini. Mana-mana parti yang baharu ditubuhkan, mahu menggantikan kedua-dua parti ini perlu mengharungi zaman yang panjang sebelum mampu menguasai hati dan jiwa orang Melayu. Sama ada mereka memiliki para pemimpin ulung hebat bertaraf perdana menteri mahupun menteri kabinet, sentimen Melayu masih pada kedua parti tunjang orang Melayu di negara ini.

Kedua, isu orang Melayu dan umat Islam masih menjadi faktor penentu kejayaan terhadap mana-mana parti politik. Jika PH sibuk memperjuangkan bangsa lain, serta dilihat mahu menggadaikan nasib umat Islam di negara ini, rakyat tidak teragak-agak memilih parti lain walaupun parti pembangkang. Rakyat terbanyak yang didominasi oleh orang Melayu dan umat Islam mahu melihat keseriusan dan ketegasan kerajaan mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, sehingga mengorbankan seorang anggota bomba, Muhammad Adib, pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate atau (UEC), skandal di Tabung Haji dan lain-lain adalah isu sensitif yang gagal ditangani dengan bijak oleh para pemimpin PH. Akibatnya, orang Melayu dan umat Islam merasa sangsi terhadap kemampuan kerajaan PH mempertahankan hak orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Ketiga, seakan semua bersetuju termasuk pemimpin kerajaan sendiri bahawa ia adalah ‘referendum rakyat’ terhadap kegagalan pemerintahan kerajaan PH. Walaupun usianya baru menjangkau lapan bulan, namun tidak ada apa-apa perubahan yang dapat dilihat dalam kerajaan baharu ini.

Malah, rentak dan tindakannya hampir sama dengan kerajaan BN lama. Kerajaan sudah tidak ada idea untuk menangani permasalahan rakyat selain mengulangi cerita lama iaitu mewarisi kerajaan lama yang korup, hutang yang bertimbun tanpa solusi baharu yang segar.

Rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, harga barang keperluan yang tidak pernah turun, cukai GST yang digantikan dengan SST, isu PTPTN yang tidak selesai, gaji minimum yang rendah, harga minyak yang tidak berubah, kemerosotan harga sawit, getah, dan lain-lain.

Selain itu rakyat juga sudah bosan dengan isu perebutan kuasa para pemimpin PH, politik dalaman, perebutan jawatan Perdana Menteri, isu kronisma dan nepotisma dalam lantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan lain-lain. Malah, sudah terdengar adanya unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan penyahgunaan kuasa dari kalangan pemimpin.

Keempat, faktor PAS sama sekali tidak boleh dinafikan dalam memberi kemenangan kepada calon BN kali ini. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PAS menyumbang 3,587 undi dan kali ini dengan ketiadaan PAS bertanding, kesemua undi disumbangkan untuk calon BN pula. Malah ia jauh daripada jumlah undi yang diperolehi oleh BN dalam PRU14 yang hanya memperolehi undi majoriti sebanyak 597.

Ini bermaksud, mana-mana pengkritik dan mereka yang memusuhi PAS dengan memandang rendah keberadaan PAS dalam pentas politik, sehingga ada yang mengatakan PAS akan tenggelam sedikit masa lagi boleh mencari dalih lain untuk menafikan hipotesis mereka.

Mungkin mereka sendiri yang bingung mengapa PAS boleh bertahan, kuat dan subur walaupun kekalahan demi kekalahan dicatat sebelum ini. PAS tetap berdiri tegak meskipun tiada kuasa, tiada kerajaan dan pengaruh politik besar. PAS hanya berbekalkan perjuangan Islam yang didukung oleh akar umbi ahli, penyokong serta umat Islam yang percaya kepada kebangkitan Islam.

Kelima, dengan eksperimen yang ditunjukkan melalui beberapa siri pilihan raya kecil pasca PRU14, menunjukkan kerjasama PAS-Umno mampu membadai kerajaan PH. Hanya pertarungan dua penjuru akan menatijahkan kekuatan dan seterusnya kemenangan kepada PAS-BN. Kalangan penyokong PH pula, kerjasama ini ubarat mimpi ngeri dan mereka berusaha siang dan malam bagi menggagalkan kerjasama ini melalui pelbagai perencanaan.

Pimpinan PAS bijak dan mengetahui, propaganda yang memburukkan kerjasama ini dengan mengungkit sejarah silam tidak memberi bekas. Ahli dan penyokong PAS terlalu matang dan bijak berpolitik, mereka sedar kepentingan Islam jauh lebih utama dalam mengenali sosok musuh dan rakan.

PAS pula tidak segan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk dengan Umno yang memusuhi PAS selama ini atas dasar maslahah ummah yang lebih besar. PAS berjiwa sebesar gunung untuk melupakan segala episod kesedihan, dianaktirikan, dihina selama ini ditohmah dan dipenjarakan oleh para pemimpin Umno terdahulu demi kelangsungan perjuangan Islam untuk rakyat dan negara ini.

Gabungan ini semakin mengukuh, menguat dan memperkukuh dan hasilnya akan dapat dilihat dalam PRK Dun Semenyih pula selepas ini. Tunggulah, dan yakinlah hayat kerajaan PH sudah tidak lama lagi, kubur mereka sedang digali akibat kesombongan dan kehancingan penipuan kepada rakyat! – HARAKAHDAILY 30/1/2019

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.