Mulia dengan jawatan bila mana berjuang

PAYA BESAR: Kemuliaan di sisi Allah apabila sesuatu jawatan yang dipikul itu ditunaikan tanggungjawabnya, tetapi jika sebaliknya ia boleh mendatangkan kehinaan.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, setiap ahli PAS yang dilantik menganggotai Ahli Jawatankuasa adalah mereka itu terpilih oleh Allah.

“Ia jadi kemuliaan di sisi Allah untuk kita melaksanakan tanggungjawab. Namun, jika kita tidak menjalankan tugas, maka jawatan itu tidak meletakkan kita dalam kemuliaan Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Kampung Pandan 2, Kuantan, di sini malam tadi.

Jelasnya, Allah S.W.T memuliakan para Sahabat R.A kerana mereka berjuang di sisi Rasulullah S.A.W dan meneruskan perjuangan Islam dibawa Baginda.

Katanya, orang yang tidak berada di dalam jamaah tidak akan merasa nikmat perjuangan itu sebagaimana mereka tidak bersama PAS tidak akan tahu perasaan berada dalam parti ini.

Sempena majlis itu, beliau yang juga Adun Panching menyampaikan Anugerah Ahli Istiqamah kepada Osman @ Yaakob Idris atas komitmen tingginya sejak Cawangan itu ditubuhkan tahun 1994. – HARAKAHDAILY 30/1/2019