Struktur baharu YADIM menyimpang dari matlamat asal

takiyuddin2

PAS melihat penstrukturan baharu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan akan membawa badan amanah itu menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhannya pada tahun 1974.

Advertisement

PAS meragui di bawah dasar dan pendekatan baru YADIM sekarang tujuan penubuhannya untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO berteraskan Islam akan dapat dicapai, sebaliknya YADIM akan berubah menjadi entiti untuk kepentingan politik PH.

Ini dapat dilihat daripada komposisi Ahli-ahli Lembaga YADIM sekarang dibarisi sebahagian besarnya di kalangan pimpinan parti-parti PH termasuk dari DAP.

Bagi PAS perlantikan Adun DAP, YB. Sheikh Omar Ali, sebagai salah seorang Ahli Lembaga YADIM memperlihatkan Kerajaan PH akan membiarkan YADIM turut dicorakkan oleh DAP walaupun DAP selama ini tidak pernah bersetuju dengan sebarang dasar Islam walaupun tidak langsung melihatkan rakyat Bukan Islam.

Ini termasuklah sikap DAP terhadap peruntukan-peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam dan institusi Agama Islam, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah dan perlaksanaan Syariat Islam di negara ini.

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dr. Mujahid Yusof, bahawa perlantikan Sheikh Omar adalah sesuai kerana kelayakannya yang memiliki Ijazah bidang Usuluddin amatlah dangkal kerana sebagai seorang ahli DAP apatah lagi Adun DAP, beliau adalah terikat kepada dasar-dasar DAP bukannya kepada ilmu yang dipelajarinya.

PAS merasakan ramai lagi tokoh-tokoh agamawan yang lebih berwibawa dari segi ilmu dan mendapat keyakinan umat Islam berbanding beliau, walaupun bukan keturunan ‘Sheikh’, boleh dilantik menduduki Lembaga YADIM.

PAS menyeru Kerajaan mengkaji semula struktur keanggotaan YADIM demi memastikan YADIM tidak lari dari matlamat asal penubuhannya terutama visinya iaitu “menerajui urusan dakwah berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah”.

DATO’ TAKIYUDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
30 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 30/1/2019