P’raya: Tuduh Presiden PAS bermotif jahat

TUDUHAN bahawa Presiden PAS melanggar undang-undang dengan menggunakan sentimen agama untuk mempengaruhi pengundi adalah suatu dakwaan yang dangkal dan berniat jahat.

Advertisement

takiri1Peguam yang membuat dakwaan tersebut seperti gagal memahami bahawa suatu peruntukan undang-undang itu tidak boleh dibaca secara berasingan dan mesti mengambil kira undang-undang yang berkaitan terutamanya Perlembagaan Persekutuan.

Kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang kebebasan berpolitik iaitu kebebasan untuk mewakili suara parti dan pihak yang diwakili. Tambahan pula, kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu memang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, Akta Pertubuhan pula membenarkan parti politik untuk mempromosi kepentingan ahlinya. PAS adalah parti politik yang mempromosikan kepentingan Islam dan orang Melayu adalah komponen terbesar kepada kepentingan tersebut.

Seruan untuk mengundi pemimpin Muslim secara jelas bukan perbuatan `mengembang perasaan jahat’ atau kempen hasut-menghasut untuk membenci calon lain. Definisi pecah belah agama dan rasis tidak boleh mengikut pendapat peribadi beliau semata-mata sebaliknya, peruntukan undang-undang perlu dibaca secara menyeluruh.

Kenyataan peguam tersebut jelas bersifat mentafsirkan undang-undang tanpa asas, berniat jahat (mala fide) dan dengan sengaja mahu membangkitkan persepsi jahat dan kebencian awam terhadap PAS dan orang Melayu Islam. Sekiranya beliau merasakan mempunyai asas yang kuat, sepatutnya sejak dari awal lagi beliau sendiri boleh membuat laporan kepada pihak polis.

Kenyataan ini bertujuan mahu menutup kesalahan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian PRK Cameron Highlands dan ia juga adalah manifestasi ketakutan melampau terhadap kesatuan Melayu dan Islam yang merupakan ancaman terbesar terhadap survival politik PH.

Peliknya, mereka yang selalu mengganggu-gugat kepentingan Melayu dan Islam tidak pula dianggap menentang Perlembagaan sebaliknya suara yang menyeru kepada kesatuan Melayu dan Islam pula yang dituduh menyalahi undang-undang.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
1 Februari 2019 | 26 Jamadilawal 1440 – HARAKAHDAILY 1/2/2019