Tarik semula pelaksanaan MySalam, PeKa B40

SAYA mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia menarik semula pelaksanaan skim MySalam dan PeKa B40 sehingga beberapa perkara melibatkan pengurusan serta pengoperasian dijelaskan secara terperinci.

Advertisement

amzadRamai pemegang taruh sektor kesihatan termasuk pihak Malaysian Medical Association (MMA) dan Federation of Private Medical Practitioners Associations of Malaysia (FPMPAM) tidak dirunding dan tidak bersetuju dengan skim tersebut.

Skim MySalam melibatkan syarikat operator takaful luar negara (Singapura). Ia juga berkait dengan polisi Bank Negara Malaysia. Jumlah RM2 bilion sumbangan Great Eastern Takaful Bhd ke dalam skim ini menimbulkan tanda tanya.

Tambahan pula, mengapa kerajaan perlu membayar kadar premium sebanyak RM112 setiap individu kepada pihak syarikat. Bagaimana sebenarnya perjanjian antara kedua-duanya? Adakah Great Eastern telah mengaut laba yang besar dalam skim ini?

Kementerian Kesihatan juga perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung manfaat yang akan diterima oleh rakyat. Adakah kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan sekiranya seseorang individu yang layak menghidapi salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal? Atau, adakah rakyat hanya menerima pembayaran ‘one-off’ sebanyak RM8,000 sahaja dan baki kos rawatan perlu ditanggung sendiri oleh individu tersebut?

Sekiranya seseorang individu telah menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal sebelum 1 Januari 2019, adakah dia juga layak untuk mendapat manfaat skim ini?

Banyak lagi persoalan-persoalan yang timbul lanjutan daripada pelancaran skim My Salam dan PeKa B40. Saya sarankan agar pihak Kementerian Kesihatan turut menerbitkan bahan-bahan rujukan yang terperinci.

Oleh itu, saya meminta agar skim ini ditarik semula buat sementara waktu supaya beberapa perkara dapat diperincikan. Diharapkan agar niat yang murni dapat dilaksanakan dengan perancangan yang rapi.

YB. HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
26 Jamadil Awwal 1440 | 1 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 1/2/2019