Pemuda IKATAN dukung aspirasi Gagasan Sejahtera

shahir adnan

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia mendukung aspirasi Gagasan Sejahtera yang wujud sejak PRU14. Ini jelas dibuktikan dengan keakraban dan kesefahaman yang wujud antara Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bersama-sama Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Pemuda Berjasa merangkumi apa jua program politik dan aktiviti anak muda sejak PRU14 sehingga ke hari ini.

Advertisement

Selepas PRU14, kami masih bersama-sama berkempen untuk calon pembangkang di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila berkongsi satu pentas mewakili suara pembangkang.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bersama-sama Pemuda Gagasan Sejahtera dan Pemuda Umno telah terlibat secara langsung di dalam program-program penting seperti Himpunan ICERD, forum ekonomi dan belanjawan 2019, ceramah bergerak peringkat negeri dan turut menyantuni Muktamar PAS serta Perhimpunan Agung Umno.

Sememangnya dua parti tunjang negara, PAS dan Umno, mempelopori dunia politik tanah air, tetapi syabas dan setinggi penghargaan diucapkan kepada sahabat saya, YB Ustaz Muhammad Khalil, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sentiasa memberikan peluang untuk Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bersama-sama menyumbang idea dan tenaga demi kekuatan ummah anak muda di dalam Gagasan Sejahtera.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menegaskan bahawa perjuangan parti kita adalah jelas, iaitu untuk menjadi parti yang berwibawa dalam menyemak dan mengimbangi dasar-dasar kerajaan pada hari ini.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia akan terus menegur apa jua kepincangan yang berlaku dalam dasar-dasar pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, yang didukung oleh DAP serta parti-parti lain seperti PKR, PAN dan PPBM.

Adalah jelas bahawa IKATAN bukanlah parti yang mendampingi parti kerajaan yang berkuasa semata-mata. Bukti- bukti teguran terhadap dasar kerajaan Pakatan Harapan oleh Dewan Pemuda IKATAN Malaysia boleh diperolehi di dalam siaran media.

Kesejahteraan rakyat adalah misi utama kami. Perjuangan Dewan Pemuda IKATAN Malaysia adalah perjuangan untuk rakyat, bukan bersifat peribadi.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
02 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 2/2/2019