ECRL: Jangan ada watak ‘Musang Berjanggut’

BARAT memang susah hati semua inisiatif yang beri kelebihan kepada daya saing Asia ‘at large’ dan lemahkan rakan kongsi mereka seperti Singapura.

Advertisement

Kita mengecam soal kos yang melampau dan syarat perjanjian berat sebelah hingga merugikan Malaysia, tetapi memperakui keperluan projek seumpama ECRL untuk meransang pembangunan Wilayah Timur. Di mana ia masih ketinggalan dan mempunyai peratusan kependudukan orang Islam dan Melayu tertinggi.

ECRL perlu diteruskan dan bukan ditamatkan begitu sahaja tanpa menyatakan alternatif lain yang setara sebagai pemangkin pembangunan Wilayah Timur. Setelah pula puluhan bilion Ringgit telahpun dibelanjakan untuk ECRL dengan penyiapan beberapa fasa dari projek berkenaan. Ini tidak termasuk berapa bilion lagi pampasan jika ia ditamatkan begitu sahaja.

Kita setuju kos perlu dikurangkan, imbangan syarat perlulah pada kedudukan menang-menang dan kerana itu kita tuntut agar dirunding cari jalan supaya ECRL diteruskan.

Laporan bahawa CCCC telahpun bersetuju menurunkan kos sehingga separuh adalah bukti bahawa ia boleh dan terbuka untuk rundingan lanjut. Selain menunjukkan kecaman PAS terhadap kos ECRL yang luar biasa tinggi sebelum ini adalah berasas.

Tetapi menjadi tanda soal ialah laporan bahawa rundingan terganggu oleh ‘terlalu banyak pihak’ yang pergi jumpa CCCC. Apakah tak diselaraskan perundingan supaya cuma satu pihak sahaja yang mewakili Malaysia?

Atau seperti kisah Musang Berjanggut, dalam perjalanan isteri Tun Nila, ada yang sembunyi bawah lantai minta ini, ada pula sembunyi balik pokok minta itu…

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
3 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 3/2/2019