MTEN: Wujud dahulu Majlis Tindakan Manifesto PH

KERAJAAN dilaporkan akan menubuhkan sebuah badan tertinggi yang akan meneliti dan membuat keputusan mengenai ekonomi negara.

Advertisement

Perkara ini diumumkan oleh YAB Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat yang lalu, dan turut menyatakan badan ini akan berfungsi sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang ditubuhkan pada 1998, namun dengan nama yang berbeza.

syahir2Tun Dr. Mahathir berkata, “Kita akan menentukan semua masalah ekonomi akan dibawa kepada majlis ini dan menentukan supaya keputusan dibuat serta tindakan diambil dengan lebih cepat daripada sekarang”.

Tambah beliau, “Sekarang ini (kerajaan) agak berpecah kerana kita tidak ada satu badan yang menentukan mengenai pelaburan dan sebagainya. Ada yang pergi kepada kementerian tetapi tindakan mungkin tidak begitu jelas kepada rakyat”.

Selain itu, YAB Perdana Menteri turut berkata, kerajaan akan menubuhkan sebuah badan bagi memeriksa semua tuduhan terhadap Pakatan Harapan, dan akan menyenaraikan apa yang sudah dilakukan Pakatan Harapan sejak mengambil alih kerajaan.

“Kita dapati bahawa rakyat tidak mengetahui apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan kerana kita tidak ada satu penjelasan secara sepadu dan bersama. Walaupun tidak nampak, banyak kejayaan yang sudah dicapai dan kita akan senaraikan kejayaan ini tidak lama lagi,” ujar beliau.

Banyak pihak menyambut baik cadangan ini, namun timbul beberapa persoalan yang perlu difikirkan.

Pertama, penubuhan MTEN pada tahun 2019 dilihat bertujuan untuk menutup kelemahan Pakatan Harapan dalam melaksanakan janji manifesto PRU14, seterusnya bagi menangani kegagalan Pakatan Harapan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.

Situasi ini ternyata berbeza dengan penubuhan MTEN pada tahun 1998, di mana tujuannya adalah untuk memulihkan ekonomi negara ketika berhadapan dengan kemelesetan dan krisis kewangan 1997, di samping bertindak sebagai badan perunding kepada kerajaan bagi menangani isu ekonomi semasa dan jangka sederhana.

Kemuncaknya MTEN telah mengemukakan sebuah dokumen penting iaitu ‘Pelan Pemulihan Ekonomi Negara – Agenda Tindakan’ pada Ogos 1998, sebagai ‘blueprint’ yang menggariskan strategi dan langkah pemulihan bagi menangani kegawatan ekonomi negara ketika itu.

Kedua, Pakatan Harapan telah mewujudkan ‘Council of Eminent Person’ (CEP) sejurus mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018, bertujuan untuk mengemukakan langkah pemulihan ekonomi dan pelaksanaan manifesto dalam tempoh 100 hari pentadbiran. Sehingga hari ini, tiada laporan dan rekomendasi yang konkrit telah dikemukakan kepada Parlimen dan rakyat untuk dinilai bersama.

Ketiga, sudah wujud dua kementerian penting bagi mentadbir hal ehwal ekonomi dan kewangan negara, diterajui YB Dato’ Seri Azmin Ali dan YB Lim Guan Eng. Mungkin disebabkan kesibukan berpolitik atau kelemahan pengurusan di pihak mereka, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan kedudukan kewangan negara tidak diurus dengan sebaiknya.

Dalam hal ini, adalah lebih wajar sekiranya Pakatan Harapan menubuhkan sebuah Majlis Tindakan Manifesto PH (MENTAH) terlebih dahulu, dengan dianggotai oleh pemimpin Pakatan Harapan yang sebelum ini pernah mengemukakan segala angka dan formula untuk menurunkan harga minyak, memansuhkan PTPTN dan menghapuskan tol, seperti YB Tony Pua dan Saudara Rafizi Ramli.

Selain itu, disarankan penubuhan Majlis Tindakan Manifesto ini dibiayai sepenuhnya oleh Pakatan Harapan, tanpa menggunakan peruntukan dana kerajaan dan wang cukai SST yang telah dipungut daripada rakyat.

Justeru penubuhan MENTAH ini dilihat dapat menyelamatkan dana awam daripada dibelanjakan untuk menanggung kelemahan dan kegagalan Pakatan Harapan, sehingga terpaksa menubuhkan sebuah badan seumpama MTEN dalam keadaan negara tidak berhadapan dengan krisis kewangan dan kegawatan ekonomi yang mendesak.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
4 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 4/2/2019