PAS-Umno: Wan Saiful bimbang PH tergugat

KUALA LUMPUR: Kebimbangan disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan sebenarnya mewakili rasa tergugat terhadap masa depan dan kemampuan PH mengekalkan tampuk kuasa diterajui ketika ini.
 
Pemikir strategik muda itu mendakwa kononnya PAS dan Umno membawa agenda merbahaya kepada negara ini kerana memainkan sentimen agama Islam dan perkauman Melayu, serta menafikan suara bangsa lain.
 
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyangkal tuduhan tersebut sebaliknya menegaskan bahawa agenda bersama PAS dan Umno itu adalah mempertahankan hak yang sedang digugat.
 
Jelas beliau, seluruh rakyat tahu dan sedar PH yang dikuasai DAP telah bersikap melampau dengan menyentuh dan menggugat banyak kepentingan berkaitan Melayu, Bumiputera dan Islam.
 
Katanya, hanya pimpinan PH yang mendiamkan diri dan membutakan mata terhadap sikap tersebut di mana sebenarnya ancaman terhadap keharmonian sedia ada, sedangkan hal tersebut tidak terjadi sebelum ini.
 
“Agenda PAS dan Umno ini bukannya merbahaya kepada negara, tetapi merbahaya untuk PH kerana sekiranya undi PAS dan Umno digabungkan pada PRU lepas, sudah pasti PH tidak menang di sekurang-kurangnya 29 kerusi. 
 
“Apatah lagi dalam PRU15 nanti terdapat banyak pihak tidak puas hati dengan prestasi PH jadi saya nampak kebimbangan Wan Saiful ini lebih kepada kebimbangan terhadap masa depan PH. 
 
“Saya nasihat beliau tumpu perhatiannya membina kekuatan dalaman PH itu sendiri. Nama Wan Saiful sendiri dibuang jauh oleh kepimpinan Bersatu di Perlis. Jadi bagaimana membina kekuatan di negeri itu? Jadi lebih baik jaga parti sendiri dahulu,” nasihatnya.
 
Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, PH terutamanya DAP tidak senang melihat PAS dan Umno membawa agenda umat secara bersama yang menjadi satu kekuatan, sekali gus menyebabkan rasa terancam.
 
DAP juga katanya, melihat kebersamaan agenda itu akan menggagalkan banyak motif DAP dan tindakannya memecah belahkan kesatuan umat majoriti negara ini yang disaksikan dari sikap parti itu.
 
Sebaliknya DAP ujar beliau, lebih kuat menzahirkan sikap membela satu kaum sahaja dan ketika sama menyangkal hak kaum lain, serta membangkitkan sentimen atau provokasi berkaitan agama dan kaum. – HARAKAHDAILY 4/1/2019
Advertisement