PAS beri kerjasama penuh kepada SPRM

taki3

PAS merujuk kepada Kenyataan Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 6 Februari 2019 yang bertajuk SPRM SIASAT DAKWAAN WANG RM90 JUTA DARIPADA 1MDB.

Advertisement

PAS dengan ini memberi akujanji akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak SPRM bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan (yang kami nafikan sepenuhnya) kononnya wang sebanyak RM90 juta yang disyaki daripada 1MDB dikatakan dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

PAS juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen milik PAS, sekiranya diminta oleh pihak SPRM untuk tujuan siasatan ini, termasuklah Penyata Akaun-akaun Bank PAS Pusat, bagi membuktikan dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

PAS juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnnya mempunyai maklumat tentang dakwaan di atas, dengan penuh tanggungjawab dan integriti, tampil untuk menamakan secara terperinci serta memberikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat.

PAS yakin SPRM sebagai sebuah entiti yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta ‘without fear or favour’.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 06 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 7/2/2019