Menyuci dosa PAS dan BN

RIUH seluruh negara apabila PAS menyelesaikan kes saman dengan Sarawak Report (SR) berkenaan fitnah rasuah RM90 juta yang diterima dari Umno melalui beberapa pimpinan dan bekas pimpinan PAS. Masing-masing dari parti politik yang berseteru dengan PAS dengan mudah mengatakan bahawa PAS terbukti bersalah kerana tidak meneruskan saman itu. Mat Sabu cepat respons dengan mengatakan ramai ahli PAS kecewa dan ingin sertai PAN kerana isu ini. Saya kurang pasti, penghijrahan beramai-ramai kali ke berapa ahli PAS ke PAN. Tidak penuh lagikah tangki PAN?

Advertisement

Di pihak PAS pula, mereka mempertahankan tindakan penyelesaian itu atas alasan tiada wang dan PRU telah berlalu. PAS tetap memenangi dua negeri dan hampir merampas Kedah walaupun difitnah sedemikian rupa. Tidaklah terlalu teruk kesan fitnah itu. Jadi buat apa menghabiskan lagi duit. Lebih bagus menumpukan kepada persiapan lain parti. BN ada juga membantu PAS melalui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang secara jelas menafikan beliau memberi wang kepada PAS ketika beliau mengetuai Umno.

PAS melalui SUA-nya meminta supaya orang ramai yang ada mempunyai bukti akan salah laku PAS itu untuk segera mengemukakannya segera dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM. SPRM juga kini telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil beberapa orang yang terlibat. Kini, jika ada tuduhan, maka semua pertuduhan itu akan berada di bawah undang-undang Malaysia. Sehingga kini, masih belum kedengaran tuduhan secara jelas yang disebut secara rasmi oleh lawan PAS. Mungkin takut agaknya.

Isu fitnah RM90 juta ini adalah antara yang terpahit bagi PAS dalam menghadapi PRU14 lalu. Saya berani mengatakan bahawa ia adalah penyebab utama yang telah membawa kepada pecahan undi PAS yang banyak terutama di sebelah pantai Barat. Ia kerana berkait dengan BN. Ketika itu BN adalah seperti biawak hidup kepada sesiapa sahaja. Biawak hidup pun tidak sebegitu dahsyat bebannya.

Tindakan pintar PAS menyaman SR sebelum PRU itu, adalah satu tindakan yang melegakan ketegangan pengundi PAS yang mulai meliar dan curiga dengan PAS. Tetapi bagi pengundi atas pagar yang sangat bersemangat mahu menukar Kerajaan BN, mereka merasa sangat kecewa. Lalu undi beralih kepada PH. Syukur PAS mempunyai ramai ahli yang berkeyakinan penuh kepada pimpinan dan sebahagian lagi pengundi atas pagar, tidak mempercayai fitnah itu.

Selesai PRU14, tidak lama, PH pada hari pertama lagi, janji-janji mereka telah pun dimungkiri. Setelah kemudiannya PH mengambil pula Umno sebagai rakan dalam membentuk kerajaan di Kedah, di sebalik kejian mereka terhadap BN, perangai hodoh lain mereka makin menimbun. Akhirnya setelah hilang sabar setelah empat PRK dan menang, PH masih tidak mahu berubah, pada PRK Cameron Highland, rakyat memberikan majoriti yang lebih besar kepada BN. Punca utama sebagaimana yang diketahui ialah rakan kerjasama BN yang lebih dipercayai PAS, sanggup berkerjasama dengan BN. Rakyat makin mempercayai mereka. Tetapi masih tetap ada lagi sedikit keraguan dalam hati rakyat.

Kita menerima berita yang pada mulanya dianggap sebagai tamparan kepada PAS, iaitu penyelesaian saman di luar mahkamah dengan SR itu. Tetapi akhirnya kita dapat membaca bahawa ini adalah kertas litmus bagi menguji adakah isu ini masih diterima rakyat atau tidak. Jika rakyat dapat menerima bahawa isu ini hanya rekaan PH, PAS akan mendapat tambahan markah, iaitu fitnah ini tidak lagi laku dan PAS sudah hampir suci ‘dosa’-nya kerana terpalit dengan tuduhan fitnah itu. Bola sekarang berada di kaki PH. Apa tindakan mereka? Mahu menuduh PAS dalam kempen, mereka tiada bukti. Jika didiamkan, maka betul itu fitnah mereka. Jika dibisingkan juga, PAS akan menyaman mereka. Untuk selamat, PH lebih baik diam.

Jika ujian ini berjaya dilepasi PAS, maka perjalanan kerjasama dengan BN akan menjadi lebih mudah. Sehingga kini, PH cuba mencipta gelombang membantai PAS, tetapi alhamdulillah tiada sambutan. Semenyih yang mempunyai 68 peratus pengundi Melayu-Islam, akan menjadi medan sebenar bagi kepercayaan ini. SPRM juga nanti akan menjadi ‘washing machine’ rasmi kepada PAS dengan melepaskan PAS dalam keadaan bersih walaupun PAS sememangnya sudah bersih. Dulu SPRM semasa di bawah BN. Sekarang tak bersih lagikah di bawah PH? Melayu bersama PAS dan BN dan PAS berjanji mengerahkan 7000 undi mereka kepada BN di Semenyih. Sangat tepat tindakan menarik saman di waktu ini. Duit selamat, nama baik di mata pengundi juga semakin menyerlah.

Dalam ketika bising mengenai RM90 juta itu hampir mereda, keluar pula cerita sekumpulan anak muda PAS yang mendakwa beberapa pimpinan PAS menerima wang daripada Umno. Hangat kembali. Husam Musa segera mengongsikan siaran FB salah seorang pemuda PAS yang membuat pengakuan itu. Saya lihat itu hanyalah kemarahan anak muda. Biasalah begitu. Ramai yang kemudiannya mengaitkan kisah RM90 juta dengan kes terima duit Umno yang ternyata dua perkara yang berlainan, cuma keluar pada waktu yang sama. Tetapi saya dapati, ianya kurang mendapat sambutan sebab sehingga kini, pendakwa masih belum membuat laporan polis jika benar-benar rasuah. Beberapa portal yang menyokong PH, sedaya upaya menaikkan cerita ini. Tetapi tidak bersambut.

PH juga curiga. Walaupun mereka mahu menggunakan isu ini, tetapi mereka pastinya tidak berani mendekati Pemuda PAS kerana takut juga mereka jika sekiranya ini hanyalah perbalahan yang dibuat-buat. Takut ketika hebat PH guna modal ini, Pemuda dan pimpinan PAS yang bertelagah itu bersalam dan berpelukan sesama mereka. Mana PH nak letak muka? Salah ambil maklumat, kena saman lagi.  

Jadi isu ini tidak menjadi terlalu kuat bagi PH untuk dimainkan dalam PRK nanti. Melalui sejarah juga, pengkhianatan melalui pendedahan dalaman seperti ini, tidak disukai oleh rakyat Malaysia. Pendedah akan dilihat sebagai orang yang tidak bertanggungjawab. Lihat apa jadi dengan seorang yang bernama Tulang Besi? Apatah lagi reputasi PAS yang kukuh. Malah lawan juga memerhatikan kes ini dari sudut PAS mahu menguji pasaran mereka sahaja.

BN pula sebenarnya telah agak jauh meninggalkan PAS dalam upacara menyucikan diri ini. BN mesti diakui PAS mempunyai gerakan media yang sangat teratur. Ya, mereka memang berpengalaman. PAS mesti mengambil kesempatan apabila kerjasama ini berjalan nanti. DS Najib memainkan peranan yang penting dalam pembentukan semula imej BN. Motto Malu Apa Boss Ku itu telah menjadi ikutan. Sindiran tajam beliau segera mendapat respons menyokong setiap kali dipos dalam FB beliau. Khairy Jamaludin pula sekarang yang tidak keruan setelah beliau sendiri menyindir Najib, tetapi gelombang Najib tetap gagah. BN terus membuktikan bahawa mereka adalah berpengalaman menguruskan kerajaan. Manakala Utusan Malaysia dan Berita Harian juga tidak segan silu menyiarkan berita-berita negatif kepada PH. 

Kini bebanan bagi memusnahkan kerjasama PAS-BN amat berat bagi PH. Rakyat sudah mula suka dan mempercayai kerjasama PAS-BN ini. PH gagal menonjolkan diri mereka sebagai parti pemerintah yang beriwibawa. Mereka hilang segala-galanya. Maruah, pelindung dan sedang menelan kembali kahak jijik BN dahulu satu persatu. Mereka juga dilihat sebagai penyerang kepada institusi agama dan Raja oleh rakyat, suatu yang amat sensitif bagi rakyat Melayu-Islam. Ditambah kisah perkelahian dalaman mereka, ura-ura Azmin anak angkat Tun Dr Siti Hasmah akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dan perebutan kuasa yang lain, saya yakin, rakyat tidak berpaling lagi.

PAS dan BN adalah kerjasama yang sepadan. Apa bezanya PH dan BN versi lama di mata rakyat sekarang? Jika mood rakyat sama seperti PRU14 dahulu, maka PH akan ditolak kerana mereka sekarang sedang memegang watak BN dahulu.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar – HARAKAHDAILY 8/2/2019