PAN cuba tutup kelemahan sendiri

LAPORAN Polis oleh PAN ke atas Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek adalah langkah terdesak parti itu menutup kelemahan mereka dalam urus tadbir Kerajaan Negeri. Bahkan ia juga untuk menghalang lebih banyak tindakan mereka memproksikan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik kepartian terbongkar.

Advertisement

Sikap ini juga bermakna cuba menutup kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti, serta paling nyata adalah ikrar untuk membebaskan institusi rakyat dari pengaruh atau campur tangan politik hanyalah janji kosong. Sedangkan PAS selaku parti bukan kerajaan hanya bertindak bagi tujuan hisbah atau semak dan imbang.

Reaksi umpama takutkan bayang-bayang sendiri ini sebenarnya menimbulkan syak dan sangsi bahawa pihak PAN juga menyembunyikan kepincangan dan bimbang hakikatnya dari diketahui rakyat. Malang, mereka yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan tidak berani untuk terbuka menjelaskan perkara sebenar atau membetulkan keterlanjuran.

Sebaliknya, menidakkan perkara sebenar dari menjadi maklumat kepada rakyat menggunakan kekuasaan dan penguat kuasa. Jika perkara yang dinyatakan Ustaz Kamarudin adalah dakwaan, tuduhan atau fitnah, mengapa pihak tersebut yang sedang berkuasa takut untuk turun bertemu rakyat datang dan menyelesaikan isu berbangkit?

Biarpun pihak kerajaan mahupun PAN cuba menafikan, pihak rakyat yang mengalami sendiri perkara tersebut di peringkat akar umbi negeri sedang merasainya. Amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang telah mapan sekalian lama sedang diusik oleh tangan-tangan politik. Jangan bodohkan rakyat di era kecelikan politik terbuka kini.

Secara tidak langsung, tindakan pihak kerajaan itulah bersifat mempolitikkan masjid kariah yang merupakan institusi rakyat dan tunjang kekuatan umat Islam di negeri. Bahkan layak dikatakan ia datang dari pengaruh kepartian politik itu sendiri biarpun kalian nafikan. Lebih malang jika mengikut telunjuk parti bukan Islam.

Kami teramat kesal kerana sejak berdirinya kerajaan baharu ini di Seri Negeri, segala perkara berkaitan kepentingan Islam dan Melayu dilihat sedang dikurang atau dilemahkan. Sebaliknya, kerajaan ini secara megah mengangkat dan mengiktiraf agenda perkauman seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang jelas untuk kaum tertentu.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 9/2/2019 

IMG 20190209 WA0005